TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Dua melecur, seorang sesak nafas dalam kebakaran rumah sewa di Bukit Baru

By
|
Kongsi
image

MELAKA 19 Jun – Dua individu melecur manakala seorang lagi mengalami sesak nafas selepas sebuah rumah teres dua tingkat yang disewakan mengikut bilik terbakar dalam kejadian di Jalan Permai 4, Taman Perkota Hang Tuah, Bukit Baru, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.38 pagi itu, seorang wanita berusia 22 tahun dan seorang lelaki warga emas berusia 63 tahun mengalami kecederaan melecur, manakala seorang lelaki berusia 26 tahun mengalami sesak nafas.

Tiga lagi penghuni rumah terbabit dilaporkan selamat iaitu seorang wanita berusia 44 tahun serta dua lelaki masing-masing berusia 44 tahun dan lingkungan 40-an.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Timbalan Penguasa Bomba Mohd Shahrom Laji berkata, mangsa yang cedera ditemukan di dalam rumah sebelum diberikan rawatan oleh pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS) di lokasi kejadian.

"Sepasukan anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Keroh dengan bantuan Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Katil, bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan pada 3.38 pagi.

"Sebaik tiba pada 3.48 pagi, pasukan mendapati rumah jenis kekal dua tingkat berkeluasan kira-kira 20 x 70 kaki persegi yang disewakan mengikut bilik itu, telah terbakar kira-kira 80 peratus," katanya.

Menurut beliau, operasi pemadaman dijalankan menggunakan salur bantu mula dan kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada pukul 3.57 pagi.

Seramai 15 anggota bersama dua jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan dua kenderaan Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS) terlibat dalam operasi tersebut.

"Operasi masih diteruskan bagi memastikan tiada lagi punca yang mencetuskan kebakaran semula manakala punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan," katanya.

+ - reset