Berita Berita
DBKL peruntuk RM200 juta naik taraf 287 lokasi penjaja di Kuala Lumpur - Hannah Yeoh
KUALA LUMPUR 19 Jun – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memperuntukkan RM200 juta menerusi Program Lestari Niaga @ Kuala Lumpur 2026 bagi membangunkan semula dan menaik taraf kemudahan penjaja di 287 lokasi di sekitar ibu negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, inisiatif berskala besar itu dijangka memberi manfaat kepada lebih 11,000 peniaga dan penjaja kecil dengan menyediakan persekitaran perniagaan yang lebih selamat, tersusun dan kondusif.
Menurut beliau, DBKL sentiasa mengamalkan pendekatan seimbang dengan mengambil kira pandangan semua pihak berkepentingan termasuk penduduk, peniaga dan penyewa bangunan sebelum melaksanakan program penempatan semula atau naik taraf kawasan penjaja.
"Tahun ini, DBKL akan melaksanakan program ini di banyak lokasi. Dalam isu penempatan peniaga kecil, DBKL perlu mempertimbangkan pelbagai suara termasuk penduduk yang mahu kelancaran trafik, peniaga serta penyewa bangunan untuk menjalankan perniagaan.
"Kita kena bersikap adil kepada semua pihak kerana setiap mereka mempunyai pandangan tersendiri mengenai lokasi yang sesuai," katanya kepada pemberita selepas meninjau projek naik taraf kemudahan penjaja berhampiran UTC Sentul di sini hari ini.
Turut hadir Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud dan Ahli Parlimen Batu, P. Prabakaran.
Mengulas projek naik taraf kemudahan penjaja di UTC Sentul yang tular di media sosial baru-baru ini, Hannah berkata DBKL telah mengadakan sesi libat urus serta memilih konsep pembangunan semula selepas mengambil kira maklum balas pelbagai pihak.
Beliau menjelaskan kerja-kerja merombak struktur sedia ada bukan bertujuan mengusir peniaga, sebaliknya bagi membina semula 20 kiosk modular baharu yang lebih selesa dengan kos RM1.6 juta.
Projek yang bermula pada 15 Jun itu dijangka siap sepenuhnya sebelum Oktober depan.
Sementara itu, Fadlun berkata DBKL buat pertama kali memperkenalkan bantuan khas sebanyak RM1,500 sebulan kepada 20 peniaga aktif yang terjejas sepanjang tempoh pembinaan.
Menurutnya, pendekatan bantuan kewangan secara terus lebih berkesan berbanding penyediaan tapak sementara yang sering melibatkan kos tinggi serta berisiko menjejaskan jumlah pelanggan kerana faktor lokasi.
Beliau berkata pendekatan sama akan diperluaskan ke beberapa lokasi lain selepas projek UTC Sentul, termasuk di Jalan Dato Senu, Pudu Ulu dan Bandar Tun Razak.
Mengulas Program Lestari Niaga secara keseluruhan, Fadlun berkata peruntukan RM200 juta itu melibatkan pelbagai kategori penjaja di bawah seliaan DBKL dan akan dilaksanakan secara berperingkat, dengan fasa awal melibatkan 224 lokasi.
"Daripada jumlah keseluruhan terlibat, lebih 4,000 ialah penjaja tepi jalan, manakala 5,000 lagi peniaga yang beroperasi di bawah aset Datuk Bandar dan baki kira-kira 1,000 ialah kategori permohonan semula," katanya.
Berita berkaitan
June 19, 2026, 2:42 pm
Warga Selangor nikmati rebat cukai taksiran 100 peratus jika pasang teknologi hijau
June 19, 2026, 2:32 pm
KPDN jamin bekalan barangan asas mencukupi menjelang PRN Johor, Negeri Sembilan
June 19, 2026, 1:52 pm
Pelajar perempuan tingkatan empat maut terjatuh dari tingkat tiga sekolah di Sendayan
June 19, 2026, 1:41 pm
Hannah Yeoh tegur PBT, jangan tunggu dah ‘viral’ baru nak baiki kemudahan
June 19, 2026, 1:07 pm
Atuk meringkuk 33 tahun dalam penjara, 14 sebatan kes rogol, amang seksual 2 cucu kandung
June 19, 2026, 12:26 pm
