TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Kos sara hidup meningkat, Selangor tawar moratorium tiga bulan kepada 3,300 penyewa dan peminjam rumah

By
|
Kongsi
image

SHAH ALAM 19 Jun – Lebih 3,300 penyewa dan peminjam rumah di bawah skim kerajaan negeri Selangor bakal menikmati kemudahan moratorium selama tiga bulan sebagai langkah membantu rakyat berdepan tekanan kos sara hidup susulan ketidaktentuan ekonomi global.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, bantuan berkenaan membabitkan penyewa Program Smart Sewa Selangor serta penjawat awam negeri yang sedang membuat bayaran pinjaman perumahan kerajaan negeri.

Menurut beliau, seramai 1,012 penyewa Smart Sewa akan ditawarkan penangguhan bayaran sewa rumah bermula Oktober hingga Disember 2026.

"Kerajaan negeri memahami keadaan yang mungkin dihadapi oleh para penyewa sekiranya kos sara hidup meningkat dalam tempoh beberapa bulan akan datang," katanya ketika membentangkan Fasa 2 Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor pada Sidang Khas Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini hari ini.

Amirudin berkata, pelaksanaan moratorium itu akan diselaraskan oleh Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) berdasarkan permohonan yang dikemukakan penyewa.

Kerajaan negeri menyediakan peruntukan sebanyak RM2.22 juta bagi menjayakan inisiatif tersebut.

Beliau berkata, kadar sewa bulanan di bawah Program Smart Sewa ketika ini adalah antara RM450 hingga RM1,300 sebulan dan kerajaan negeri akan memastikan kadar berkenaan tidak dinaikkan.

Selain penyewa Smart Sewa, kerajaan negeri turut menawarkan moratorium bayaran balik pinjaman perumahan kepada 2,333 penjawat awam negeri yang menerima pembiayaan menerusi Skim Pinjaman Perumahan Kerajaan Negeri.

"Bagi membantu penjawat awam yang sedang menjelaskan bayaran hutang pinjaman rumah, pentadbiran ini akan menawarkan peluang moratorium bayaran semula pinjaman rumah untuk tempoh tiga bulan bermula Oktober sehingga Disember 2026.

"Kerajaan negeri memperuntukkan RM2.54 juta bagi melaksanakan inisiatif ini," katanya.

Menurut Amirudin, kedua-dua langkah itu merupakan sebahagian daripada Fasa 2 Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor yang dirangka bagi membantu rakyat serta ekonomi negeri menghadapi ketidaktentuan ekonomi akibat gangguan rantaian bekalan global.

Secara keseluruhan, kerajaan negeri menyediakan peruntukan RM209.26 juta bagi pelaksanaan Fasa 2, menjadikan jumlah keseluruhan peruntukan bagi Fasa 1 dan Fasa 2 sebanyak RM355.06 juta.

+ - reset