TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Menyorok bawah katil, panjat siling elak dicekup - 186 PATI ditahan dalam Ops Kutip di Pudu

By
|
Kongsi
image

Oleh AZIM SAID 

KUALA LUMPUR 20 Jun– Ada yang menyorok di bawah katil, malah sanggup memanjat ke atas siling bagi mengelak ditahan dalam serbuan bersepadu di sebuah premis dah rumah sekitar Pasar Pudu, awal pagi tadi.

Bagaimanapun, helah mereka gagal apabila anggota penguat kuasa berjaya mengesan lokasi persembunyian berkenaan menerusi pemeriksaan menyeluruh dalam Ops Kutip yang bermula pada jam 12.05 tengah malam.

Seramai 186 pendatang asing tanpa izin (PATI), terdiri daripada 149 lelaki dan 37 wanita, ditahan selepas dipercayai melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.

Operasi bersepadu itu membabitkan 137 pegawai dan anggota daripada JIM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, JIM Putrajaya, JIM Selangor, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Dalam operasi berkenaan, seramai 320 warga asing diperiksa, membabitkan 163 lelaki Bangladesh, 68 warga Indonesia, 41 warga Myanmar, 15 warga Vietnam, 13 warga Nepal, 12 warga Pakistan, enam warga India dan dua warga China.

Daripada jumlah yang diperiksa, warga Bangladesh merekodkan tangkapan tertinggi iaitu 118 lelaki, diikuti 28 warga Indonesia terdiri daripada tujuh lelaki dan 21 wanita.

Turut ditahan ialah 26 warga Myanmar, masing-masing 13 lelaki dan wanita, lima warga Vietnam terdiri daripada tiga lelaki dan dua wanita, empat lelaki Nepal, dua lelaki India, seorang lelaki Pakistan serta dua warga China terdiri daripada seorang lelaki dan seorang wanita.

Kesemua mereka ditahan kerana disyaki tinggal lebih masa mengikut Seksyen 15(1)(c) serta tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Mereka kemudiannya dibawa untuk proses dokumentasi dan siasatan lanjut oleh pihak imigresen.

+ - reset