Berita Berita
Selepas larang guna media sosial, Norway bakal sekat pelajar sekolah akses AI
OSLO 20 Jun – Norway akan melaksanakan larangan hampir menyeluruh terhadap penggunaan alatan kecerdasan buatan (AI) generatif dalam kalangan murid sekolah rendah sebagai usaha mengukuhkan kemahiran asas pembelajaran dan menangani kemerosotan prestasi akademik pelajar.
Perdana Menteri Norway, Jonas Gahr Støre berkata, langkah itu diambil susulan penurunan ketara prestasi pelajar berdasarkan keputusan ujian pendidikan kebangsaan.
Menurut beliau, kerajaan sebelum ini telah mengharamkan penggunaan telefon pintar di sekolah pada tahun 2024 selain mengembalikan kuasa kepada guru untuk menguatkuasakan disiplin di dalam bilik darjah.
Stoere berkata, penggunaan AI secara tidak terkawal berisiko menyebabkan kanak-kanak mengabaikan proses pembelajaran asas yang penting dalam perkembangan pendidikan mereka.
“Perkara paling penting di sekolah ialah memastikan anak-anak kita belajar membaca, menulis dan mengira,” katanya pada sidang media pada Jumaat.
Beliau berkata, garis panduan baharu itu akan mula berkuat kuasa pada sesi persekolahan baharu yang dijadual bermula pada penghujung Ogos ini.
Di bawah dasar berkenaan, murid darjah satu hingga tujuh yang berusia antara enam hingga 13 tahun secara umumnya tidak dibenarkan menggunakan AI dalam proses pembelajaran.
Bagi pelajar sekolah menengah rendah berusia 14 hingga 16 tahun, penggunaan teknologi tersebut hanya dibenarkan secara terhad dan perlu berada di bawah pengawasan guru.
Sementara itu, pelajar sekolah menengah atas berusia antara 17 hingga 19 tahun digalakkan mempelajari penggunaan AI secara bertanggungjawab sebagai persediaan untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi dan memasuki alam pekerjaan.
Norway mula memperkenalkan komputer dalam bilik darjah pada sekitar 1990-an sebelum penggunaan tablet menjadi semakin meluas selepas pengenalan iPad pada 2010. Perkembangan itu secara beransur-ansur mengurangkan penggunaan buku teks serta amalan tulisan tangan dalam kalangan pelajar.
Bagaimanapun, kerajaan Norway memaklumkan bahawa satu cadangan undang-undang baharu akan dikemukakan bagi meningkatkan pembiayaan untuk penggunaan buku fizikal di sekolah sebagai usaha mengimbangi semula trend penggunaan tablet dalam pendidikan.
Pada April lalu, kerajaan negara itu turut mengumumkan rancangan untuk melarang penggunaan media sosial oleh kanak-kanak di bawah usia 16 tahun, sekali gus mengikuti langkah yang diperkenalkan oleh Australia dan beberapa negara lain bagi mengurangkan kebergantungan golongan muda terhadap peranti elektronik.
Berita berkaitan
June 20, 2026, 10:08 pm
'Jangan datang sini cakap bukan-bukan, tuduh Kerajaan Johor tak buat kerja' - TMJ
June 20, 2026, 5:57 pm
MUKMIN perkukuh kedudukan sebagai suara kolektif terbesar komuniti India Muslim
June 20, 2026, 11:36 am
Doktor, anak perempuan antara tiga maut dalam nahas di Pekan
June 20, 2026, 10:47 am
Menyorok bawah katil, panjat siling elak dicekup - 186 PATI ditahan dalam Ops Kutip di Pudu
June 20, 2026, 8:42 am
Hormati keluarga pelajar meninggal dunia, beri ruang polis jalankan siasatan - Fadhlina
June 19, 2026, 8:56 pm
Lebih 200 rumah rosak akibat ribut di Ipoh petang tadi
June 19, 2026, 6:10 pm
