TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

MUKMIN perkukuh kedudukan sebagai suara kolektif terbesar komuniti India Muslim

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR, 20 Jun – Pertubuhan Gabungan MUKMIN Malaysia (MUKMIN) mengukuhkan kedudukannya sebagai platform nasional dan suara kolektif terbesar komuniti India Muslim di negara ini dengan menghimpunkan pelbagai pihak berkepentingan.

Antara pihak berkenaan termasuklah organisasi, institusi, golongan profesional, usahawan, pendidik, pemimpin belia serta penggerak komuniti di bawah satu visi bersama ke arah perpaduan, pemerkasaan dan pembangunan komuniti yang mampan.

Perkara itu ditegaskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif (EXCO) sulung MUKMIN yang turut mengesahkan komitmen organisasi berkenaan untuk membina komuniti yang lebih kukuh, bersatu dan bersedia menghadapi masa depan menerusi kerjasama, kepimpinan kolektif serta tindakan strategik dalam bidang pendidikan, keusahawanan, pembangunan kepimpinan, kebajikan sosial dan perpaduan komuniti.

Presiden MUKMIN, Datuk Wira Shahul Dawood berkata, sudah tiba masanya komuniti berkenaan bergerak melangkaui usaha yang bersifat berasingan dan mengamalkan pendekatan yang lebih tersusun serta kolaboratif bagi memacu pembangunan masyarakat dan negara.

"MUKMIN ditubuhkan atas satu kepercayaan mudah iaitu komuniti kita menjadi lebih kuat apabila kita bekerjasama. Tiada satu organisasi pun mampu menangani setiap cabaran yang dihadapi komuniti kita.

"Namun bersama-sama, kita mampu mencipta peluang, menggerakkan sumber dan membina masa depan yang lebih kukuh untuk semua," katanya.

Beliau berkata, MUKMIN dipandu oleh lima teras strategik utama iaitu Pendidikan dan Pembangunan Bakat, Keusahawanan dan Pemerkasaan Ekonomi, Kepimpinan dan Perwakilan, Kebajikan Sosial dan Kesejahteraan Komuniti serta Iman, Identiti dan Ukhuwah.

"Hasrat kami bukan sekadar menjadi sebuah lagi organisasi. Kami bercita-cita menjadi ekosistem nasional yang diyakini untuk transformasi komuniti, yang menghubungkan individu, organisasi dan peluang bagi menghasilkan impak berkekalan.

"Melalui lima teras strategik kami, pelbagai laluan sedang diwujudkan dalam bidang pendidikan, pemerkasaan ekonomi, pembangunan kepimpinan, kesejahteraan sosial dan pengukuhan hubungan komuniti," katanya.

Dalam usaha memperluaskan akses kepada pendidikan dan peluang pembangunan modal insan, MUKMIN turut mengumumkan kejayaan memperoleh komitmen biasiswa melebihi RM7 juta hasil kerjasama strategik dengan enam institusi pendidikan iaitu UNITAR International University, University of Cyberjaya, MAHSA University, BAC Education Group, Binary College dan SG Academy.

Sebanyak lebih 350 peluang biasiswa ditawarkan menerusi laluan pengajian pendidikan tinggi dan Pendidikan serta Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), sekali gus membuka lebih banyak peluang kepada pelajar yang layak di seluruh negara untuk mendapatkan pendidikan berkualiti dan pembangunan kemahiran.

MUKMIN memaklumkan beberapa kerjasama tambahan dengan universiti lain sedang dimuktamadkan bagi memperluaskan lagi peluang biasiswa dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

Bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan dan kesiapsiagaan tenaga kerja, organisasi itu turut memperkenalkan Program Ambil Graduan Angkat (Adopt A Graduate), iaitu inisiatif berteraskan komuniti yang menggerakkan organisasi, syarikat, golongan profesional dan pemimpin industri untuk membimbing serta menyokong pelajar dan graduan yang memerlukan.

Sokongan yang ditawarkan merangkumi tajaan yuran pengajian, peluang pekerjaan, program mentor, pendedahan industri dan laluan pembangunan kerjaya.

Program tersebut bertujuan mengurangkan halangan kewangan dalam pendidikan, memudahkan peralihan graduan ke alam pekerjaan serta mewujudkan ekosistem sokongan yang mampan untuk pembangunan bakat masa depan.

Usaha itu turut mencerminkan keyakinan bahawa pemerkasaan generasi muda memerlukan kerjasama menyeluruh antara komuniti, industri dan institusi pendidikan bagi menyediakan laluan ke arah kejayaan akademik, kemajuan kerjaya dan mobiliti sosioekonomi.

Dalam perkembangan sama, MUKMIN dijangka dilancarkan secara rasmi pada Ogos ini bersempena sambutan Bulan Kebangsaan.

Majlis pelancaran nasional itu dijangka menghimpunkan lebih 2,500 peserta dari seluruh negara yang terdiri daripada pemimpin komuniti, golongan profesional, pendidik, usahawan, wakil belia, pembuat dasar dan rakan strategik.

Acara berkenaan juga bakal disertai pemimpin serta wakil komuniti India Muslim dari beberapa negara sebagai sebahagian usaha memperkukuh jaringan antarabangsa, memperluas perkongsian ilmu dan membina kerjasama strategik yang memberi manfaat kepada komuniti di peringkat tempatan dan global.

Mesyuarat EXCO sulung itu turut meluluskan keutamaan strategik MUKMIN bagi tempoh 2026 hingga 2027 yang memberi tumpuan kepada pertumbuhan organisasi, pengembangan keahlian, penglibatan belia, impak program, pemerkasaan komuniti dan kelestarian jangka panjang.

"Kami sedang membina sesuatu yang lebih besar daripada sebuah organisasi. Kami sedang membina satu gerakan yang memperkasa komuniti, melahirkan pemimpin masa depan, mencipta peluang dan mengukuhkan suara kolektif komuniti India Muslim.

"Kejayaan kami tidak akan diukur berdasarkan saiz organisasi, tetapi melalui kehidupan yang berjaya disentuh dan komuniti yang berjaya diperkasakan," katanya.

Shahul berkata, aspirasi jangka panjang MUKMIN adalah untuk menjadi platform kolaborasi yang diyakini oleh organisasi komuniti, institusi dan golongan profesional, selain berperanan sebagai suara yang konstruktif dalam isu-isu yang melibatkan komuniti India Muslim.

"Masa depan komuniti kita bergantung kepada kesediaan kita untuk bekerjasama. Kami mengalu-alukan semua pihak untuk bersama-sama membentuk lembaran baharu perjalanan kolektif MUKMIN.

"Bersama-sama, kita mampu mencapai lebih banyak perkara berbanding apa yang mampu dicapai oleh sesebuah organisasi secara bersendirian," katanya. - Media Telus

 

+ - reset