TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Poay Tiong dakwa pertukaran Ketua Pembangkang berpunca PAS 'buli' Bersatu

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 22 Jun – Sidang Dewan Rakyat pada Isnin bertukar kecoh seketika apabila Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) mendakwa pertukaran jawatan Ketua Pembangkang berlaku berpunca daripada perselisihan faham antara PAS dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Ketegangan tersebut mula tercetus sewaktu Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) bangun bagi mengajukan soalan keempat untuk sesi pertanyaan jawab lisan.

Dalam usulnya, Takiyuddin yang juga merupakan Ketua Whip Pembangkang menegaskan bahawa status Datuk Seri Hamzah Zainudin sebagai Ketua Pembangkang adalah sah di bawah sebuah parti politik yang berdaftar serta tidak bercanggah dengan Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan.

Bagaimanapun, Poay Tiong bertindak bangun mencelah dengan menyifatkan proses pertukaran jawatan tertinggi blok pembangkang itu tidak profesional serta menggambarkan situasi seolah-olah PAS sedang 'membuli' Bersatu.

Beliau secara terbuka mendakwa bahawa tindakan menukar jawatan Ketua Pembangkang secara tiba-tiba itu adalah impak daripada pergaduhan dalaman antara kedua-dua parti komponen berkenaan.

Kenyataan sinis tersebut segera mengundang reaksi hambar daripada beberapa ahli Parlimen pembangkang termasuk Mohd Misbahul Munir Masduki (PN-Parit Buntar) yang meminta agar isu berkenaan tidak terus dipanjangkan memandangkan penjelasan rasmi telah pun dibuat oleh Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.

Suasana di dalam dewan persidangan menjadi semakin hangat apabila Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) turut mencelah dengan melontarkan perkataan 'lu siapa' sebelum keadaan akhirnya berjaya ditenangkan semula.

Johari kemudiannya tampil memberikan penjelasan muktamad bahawa beliau telah meneliti serta memperhalusi kesemua dokumen serta pemakluman rasmi yang dikemukakan berhubung penentuan kedudukan jawatan tersebut.

Beliau turut mengesahkan bahawa Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut telah kembali menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat berkuat kuasa sejak 18 Jun lalu.

+ - reset