TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

MUDA umum tiga lagi calon PRN Johor, tampilkan barisan berteraskan khdimat dan pengalaman 

By
|
Kongsi
image

JOHOR BAHRU 22 Jun – Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) mengumumkan tiga lagi calon yang akan mewakili parti itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, sekali gus memperkukuhkan barisan calon yang disifatkan dibentuk melalui pengalaman dan khidmat kepada masyarakat.

Pengarah PRN Johor MUDA, Rasid Abu Bakar berkata, calon yang diumumkan ialah Premanand bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Batu, Amir Jack (DUN Maharani) dan Ainie Haziqah Shafii (DUN Simpang Jeram).

Menurut beliau, pemilihan calon berkenaan dibuat berdasarkan rekod perkhidmatan dan pengalaman mereka dalam pelbagai bidang, selaras dengan keperluan rakyat yang berdepan pelbagai cabaran semasa.

“Pilihan raya bukan sekadar soal parti politik. Ia adalah soal siapa yang akan membawa suara rakyat Johor dalam menghadapi cabaran kos sara hidup, peluang pekerjaan, perumahan, pendidikan dan masa depan negeri ini.

“Sebab itu MUDA memilih untuk mengetengahkan calon yang dibina melalui khidmat dan pengalaman, bukannya calon yang hanya muncul apabila musim pilihan raya tiba,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Rasid berkata, Premanand mempunyai lebih tiga dekad pengalaman dalam bidang kejuruteraan, pembuatan, latihan serta pembangunan tenaga kerja.

Menurutnya, pengalaman luas calon itu dalam sektor industri memberinya pemahaman mendalam mengenai aspek ekonomi, peluang pekerjaan dan pembangunan bakat yang diperlukan bagi masa depan Johor.

Beliau berkata, Ainie Haziqah pula merupakan seorang peguam dan aktivis masyarakat yang telah menghabiskan bertahun-tahun membantu golongan memerlukan melalui bantuan guaman, usaha advokasi serta pelbagai inisiatif kemasyarakatan.

Katanya, pengalaman tersebut membolehkan Ainie membawa suara dan perjuangan rakyat ke dalam arena politik.

Dalam pada itu, Amir Jack disifatkan sebagai wakil generasi pemimpin muda yang dibentuk menerusi khidmat secara langsung kepada masyarakat.

“Pengalaman beliau berkhidmat di Parlimen Muar serta menggerakkan pelbagai program belia dan komuniti telah memberikan beliau pemahaman yang mendalam tentang keperluan masyarakat setempat,” katanya.

Sebelum ini, MUDA turut mengumumkan Rashifa Aljunied sebagai calon bagi DUN Puteri Wangsa.

Menurut Rasid, Rashifa yang juga Ketua Pegawai kepada Ahli Dewan Undangan Negeri Puteri Wangsa, Amira Aisya Abd Aziz, memainkan peranan penting dalam pelaksanaan pelbagai program dan inisiatif di Pusat Khidmat Puteri Wangsa.

“Beliau mencerminkan kepimpinan yang dibina melalui kerja dan khidmat kepada masyarakat,” katanya.

Rasid berkata, keempat-empat calon yang diketengahkan MUDA datang daripada latar belakang berbeza, namun berkongsi matlamat yang sama iaitu mengutamakan khidmat kepada rakyat sebelum mendapatkan mandat daripada pengundi.

“Johor tidak memerlukan lebih ramai ahli politik yang hanya pandai berpolitik. Johor memerlukan pemimpin yang memahami dunia pekerjaan, memahami cabaran rakyat dan mempunyai rekod khidmat yang boleh dibuktikan.

“MUDA percaya inilah jenis kepimpinan yang diperlukan untuk membawa Johor ke hadapan,” katanya.

+ - reset