Berita Berita
Tak tahan tekanan politik, Perdana Menteri Britain letak jawatan
LONDON 22 Jun - Perdana Menteri Britain, Keir Starmer mengumumkan peletakan jawatannya pada Isnin selepas berdepan tekanan politik yang berlarutan sejak beberapa bulan lalu, sekali gus membuka laluan kepada pemilihan pemimpin baharu Parti Labour dan ketua kerajaan seterusnya.
Pengumuman itu dijangka menyaksikan Britain menerima perdana menteri ketujuh dalam tempoh sedekad.
Berucap di luar Downing Street, Starmer yang memegang jawatan sejak Julai 2024 mengakui beliau tidak lagi mempunyai sokongan mencukupi daripada Ahli Parlimen Parti Labour untuk terus menerajui kerajaan.
Beliau berkata, keputusan pengunduran diri itu telah dimaklumkan kepada Raja Charles III bagi membolehkan proses pemilihan ketua baharu Parti Labour dilaksanakan.
"Saya akan kekal menjalankan tugas sebagai perdana menteri sehingga proses pemilihan selesai. Saya akan melakukan apa sahaja bagi memastikan peralihan kuasa berjalan lancar," katanya.
Kedudukan Starmer dilihat semakin goyah selepas Parti Labour mengalami kekalahan besar dalam pilihan raya tempatan dan wilayah pada Mei lalu.
Tekanan terhadap beliau turut memuncak susulan kemenangan tokoh kanan Labour, Andy Burnham, dalam pilihan raya kecil parlimen di Makerfield, barat laut England, minggu lalu.
Burnham dijadualkan kembali ke Dewan Rakyat pada Isnin, sekali gus mencetuskan spekulasi bahawa beliau bakal mencabar kepimpinan parti.
"Persoalan yang dikemukakan oleh parti saya sekarang adalah sama ada saya individu terbaik untuk memimpin kita menghadapi pilihan raya umum akan datang," kata Starmer.
"Saya mendengar jawapan daripada ahli parlimen saya dan menerima keputusan itu dengan hati yang terbuka.
"Setiap keputusan yang saya ambil adalah demi mengutamakan negara yang saya cintai. Oleh sebab itu, saya meletak jawatan sebagai ketua Parti Labour," tambahnya dalam ucapan yang penuh emosi.
Menurut Starmer, beliau telah meminta Jawatankuasa Eksekutif Kebangsaan Labour menetapkan jadual pencalonan bagi memilih penggantinya, yang dijangka bermula pada 9 Julai.
"Langkah ini bagi memastikan pemimpin baharu dapat dilantik sebelum parlimen bersidang semula pada September selepas cuti musim panas berakhir," katanya.
Perhatian kini tertumpu kepada sama ada Burnham akan mengambil alih jawatan itu tanpa bertanding atau berdepan saingan daripada calon lain termasuk bekas Menteri Kesihatan, Wes Streeting.
Mengikut peraturan Parti Labour, hanya Ahli Parlimen layak dipilih sebagai ketua parti.
Walaupun sebelum ini Starmer bertegas untuk terus mempertahankan kedudukannya, tekanan berterusan daripada dalam parti akhirnya memaksanya berundur.
Media tempatan melaporkan Setiausaha Luar, Yvette Cooper dan Menteri Tenaga, Ed Miliband antara pemimpin kanan yang menggesa beliau melepaskan jawatan.
Lebih 100 daripada 403 Ahli Parlimen Labour juga dilaporkan mendesak perubahan kepimpinan bagi memulihkan kedudukan parti.
Burnham, yang kini memegang jawatan Datuk Bandar Greater Manchester, sebelum ini secara terbuka menyuarakan hasrat untuk menerajui Labour dan memberi amaran bahawa parti itu sedang berdepan "peluang terakhir untuk berubah".
Sekiranya dipilih, ahli politik berusia 56 tahun itu bakal menggantikan Starmer sebagai perdana menteri dengan sokongan majoriti besar yang dimiliki Parti Labour di Parlimen.
Berita berkaitan
June 22, 2026, 10:41 pm
Pelajar Tingkatan Satu parah terjatuh dari bangunan sekolah di Ipoh
June 22, 2026, 10:23 pm
Johor terima RM14.6 bilion di bawah Anwar, dakwaan dianaktirikan tidak benar - Saifuddin
June 22, 2026, 6:20 pm
LRT3 Shah Alam mula beroperasi Ahad ini – Anthony Loke
June 22, 2026, 5:52 pm
Tak perlu ambil cuti lagi, JPJ BTS kini dibuka hingga 10 malam setiap hari - Anthony Loke
June 22, 2026, 4:15 pm
'Saya tidak untung pun dengan SOP ini' - Khairul Aming pertahan SOP bayi demi keselamatan
June 22, 2026, 3:15 pm
Syed Saddiq selamatkan abang hampir lemas dibawa arus kuat di Bali
June 22, 2026, 3:03 pm
BERSAMA sah tanding 15 kerusi DUN pada PRN Johor
June 22, 2026, 2:34 pm
MUDA umum tiga lagi calon PRN Johor, tampilkan barisan berteraskan khdimat dan pengalaman
June 22, 2026, 2:30 pm
