TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

'Saya tidak untung pun dengan SOP ini' - Khairul Aming pertahan SOP bayi demi keselamatan

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 22 Jun – Pempengaruh media sosial dan usahawan terkenal, Khairul Aming menjelaskan keputusan restoran miliknya, Rembayung, mengira bayi sebagai sebahagian daripada jumlah pelanggan (pax) dibuat atas faktor keselamatan dan pengurusan operasi, bukannya untuk meraih keuntungan.

Khairul Aming, 34, atau lebih dikenali sebagai KA berkata, prosedur operasi standard (SOP) itu diperkenalkan selepas pihaknya meneliti pelbagai situasi yang berlaku sepanjang enam bulan restoran berkenaan beroperasi.

Menurutnya, beberapa insiden yang tidak didedahkan kepada umum turut menjadi pertimbangan utama dalam usaha memastikan keselamatan bayi, kanak-kanak serta keselesaan pelanggan sentiasa terpelihara.

"Saya buat SOP ini sebab mahu lindungi keselamatan bayi dan kanak-kanak selepas apa yang pernah berlaku di Rembayung sepanjang enam bulan kita berniaga.

"Saya tidak untung pun dengan SOP ini. Cuba bayangkan kalau ada 30 hingga 50 bayi di Rembayung setiap hari, saya sebenarnya kehilangan peluang jualan daripada pelanggan dewasa kerana bayi bukan pelanggan yang makan.

"Saya rugi ribuan ringgit sebenarnya, tetapi saya tetap buat SOP ini sebab mahu jaga keselamatan bayi dan kanak-kanak," katanya menerusi hantaran di Instagram.

Pempengaruh yang sinonim dengan tagline Hey, What's Up Guys itu berkata, SOP tersebut juga diwujudkan bagi memastikan aliran pergerakan pelanggan dan kakitangan restoran lebih selamat terutama ketika premis beroperasi pada kapasiti tinggi.

Beliau berkata, sebelum ini pihak restoran tidak mengira bayi sebagai pax, namun keadaan menjadi semakin mencabar apabila semakin ramai pelanggan hadir bersama kereta sorong bayi.

"Sebelum ini memang kita tidak kira bayi, tetapi realitinya ramai ibu bapa datang ke Rembayung dengan membawa stroller.

"Bila jumlahnya semakin ramai, timbul persoalan di mana mahu meletakkan stroller itu.

"Bayangkan jika stroller diletakkan di tepi meja dan pada masa sama kakitangan membawa lauk panas ke meja pelanggan. Jika berlaku tumpahan ke atas bayi atau stroller, isu keselamatan boleh timbul," katanya.

Menurut KA, meskipun ada pihak menganggap langkah tersebut kurang mesra keluarga, SOP yang jelas amat diperlukan bagi memastikan operasi restoran yang menerima kira-kira 1,000 pelanggan setiap hari dapat berjalan lancar.

"Mungkin ada yang melihat saya sebagai kejam atau tidak berempati, tetapi saya perlu menguruskan kira-kira 1,000 pelanggan setiap hari.

"Tanpa SOP yang jelas, isu keselamatan akan menjadi lebih sukar dikawal," katanya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan pihak restoran perlu berlaku adil kepada semua pelanggan dan tidak boleh memberikan pengecualian kepada mana-mana pihak.

"Kalau saya benarkan satu keluarga mendapat pengecualian, pelanggan lain akan mempersoalkan kenapa anak mereka perlu dikira sebagai pax sedangkan keluarga lain tidak.

"Dalam keadaan sekarang, apa sahaja yang berlaku di Rembayung mudah dirakam dan dikongsikan di media sosial.

"Sebab itu SOP perlu dilaksanakan secara konsisten supaya semua pelanggan menerima layanan yang sama," katanya.

Pada masa sama, KA turut memohon maaf sekiranya pelaksanaan SOP berkenaan menimbulkan rasa kurang selesa dalam kalangan pelanggan serta berharap orang ramai dapat memahami rasional di sebalik keputusan tersebut.

"Saya bukan buat peraturan sebarangan. Setiap peraturan yang dibuat ada sebabnya dan saya mahu melindungi bayi serta memastikan ibu bapa dapat menikmati pengalaman menjamu selera dengan tenang.

"Saya mohon maaf jika ada pelanggan yang berasa kurang selesa untuk datang ke Rembayung.

"Doakan supaya kami terus menambah baik dari semasa ke semasa demi memastikan semua pelanggan berasa selesa," katanya.

Sebelum ini, tular di media sosial hantaran seorang individu yang meluahkan rasa terkilan terhadap SOP di restoran Rembayung yang turut mengira bayi sebagai sebahagian daripada jumlah pelanggan, sekali gus mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen.

+ - reset