TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Tak perlu ambil cuti lagi, JPJ BTS kini dibuka hingga 10 malam setiap hari - Anthony Loke

By
|
Kongsi
image

Oleh AZIM SAID

KUALA LUMPUR, 22 Jun – Orang ramai kini boleh menguruskan urusan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tanpa perlu mengambil cuti kerja apabila Pejabat Baharu JPJ Cawangan Bandar Tasik Selatan (BTS) mula beroperasi sehingga jam 10 malam dan dibuka tujuh hari seminggu.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, cawangan baharu yang terletak di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) itu memperkenalkan model operasi metropolitan pertama di Kuala Lumpur bagi memudahkan rakyat mendapatkan perkhidmatan JPJ mengikut kesesuaian masa mereka. 

Menurut beliau, pendekatan tersebut membolehkan orang ramai berurusan selepas waktu bekerja atau pada hujung minggu tanpa perlu mengorbankan komitmen pekerjaan dan keluarga. 

“Buat pertama kalinya di Kuala Lumpur, JPJ memperkenalkan model operasi metropolitan yang menawarkan perkhidmatan sehingga jam 10 malam serta beroperasi tujuh hari seminggu,” katanya ketika merasmikan Pejabat Baharu JPJ Cawangan BTS di TBS, hari ini. 

Pejabat baharu seluas lebih 14,000 kaki persegi itu menggantikan cawangan lama di Bandar Sri Permaisuri yang telah beroperasi sejak tahun 2006.

Sebelum ini, pejabat tersebut menerima sehingga 1,300 pelanggan sehari namun berdepan kekangan ruang dan kemudahan yang terhad. 

Loke berkata, pemindahan ke TBS dibuat bagi menyediakan persekitaran yang lebih selesa dan mudah diakses oleh pengguna, memandangkan lokasi itu merupakan hab pengangkutan awam utama yang turut menawarkan pelbagai kemudahan komersial. 

Selain menawarkan waktu operasi yang lebih panjang, cawangan baharu itu turut dilengkapi pelbagai kemudahan digital seperti kiosk layan diri, aplikasi MyJPJ dan penggunaan MyDigital ID bagi mempercepatkan urusan pelanggan serta mengurangkan kebergantungan kepada kaunter fizikal. 

Dalam sidang media, beliau berkata cawangan berkenaan dijangka mampu mengendalikan sekitar 1,700 pelanggan sehari menerusi sistem kerja syif bagi menyokong operasi sehingga lewat malam. 

Beliau turut menyifatkan pembukaan pejabat baharu itu sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan untuk mentransformasikan penyampaian perkhidmatan awam agar lebih cekap, mesra pelanggan dan selari dengan keperluan masyarakat masa kini. 

+ - reset