TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Nahas tiga kenderaan di Jalan Kuching, penunggang wanita cedera parah di bahu

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 23 Jun – Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung satu kes kemalangan jalan raya membabitkan tiga buah kenderaan di Jalan Kuching menghala ke susur masuk Bulatan Kepong, awal pagi tadi.

Ketua JSPT Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, pihaknya mengesan satu rakaman video mengenai insiden berkenaan yang tular di media sosial selepas dimuat naik oleh akaun pemantauan trafik.

Siasatan awal pihak polis mendapati kejadian tersebut berlaku kira-kira jam 6.40 pagi, melibatkan sebuah motosikal jenis Modenas Kriss, sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Innova, serta sebuah van Nissan Urvan.

Insiden dipercayai tercetus apabila penunggang motosikal yang sedang bergerak dari arah Jalan Kuching menghala ke Bulatan Kepong tiba-tiba hilang kawalan, lalu rempuhan berlaku pada bahagian belakang Toyota Innova yang ketika itu sedang berhenti untuk memasuki susur masuk bulatan.

"Akibat pelanggaran tersebut, penunggang bersama motosikalnya telah tercampak ke lorong kanan jalan. Pada masa yang sama, sebuah van Nissan Urvan yang sedang melalui laluan berkenaan gagal mengelak lalu melanggar motosikal tersebut," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Rempuhan kuat itu menyebabkan penunggang motosikal, yang merupakan seorang wanita tempatan berusia 36 tahun, mengalami kecederaan pada bahagian bahu. Mangsa segera dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan kini sedang menjalani pemeriksaan sinar-X (X-ray).

Bagaimanapun, pemandu Toyota Innova dan pemandu Nissan Urvan dilaporkan selamat tanpa sebarang kecederaan. Kedua-dua pemandu terbabit juga telah tampil membuat laporan polis bagi membantu proses melengkapkan siasatan.

Mohd Zamzuri menjelaskan, kes berkenaan kini diklasifikasikan dan disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi mengenal pasti punca sebenar yang membawa kepada berlakunya kemalangan tersebut.

Pihak polis turut meminta orang ramai atau mana-mana saksi bebas yang berada di lokasi kejadian dan mempunyai maklumat lanjut untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi Balai Polis Trafik Tun H.S. Lee di talian 03-2071 9999, atau menyalurkan maklumat ke mana-mana balai polis berhampiran.

+ - reset