TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Pindaan Akta Pengangkutan Jalan: Lumba haram, intip tonto boleh dipenjara lima tahun

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 23 Jun – Kerajaan mengambil langkah drastik bagi mengekang aktiviti lumba haram dan kegiatan tonto menerusi Rang Undang-Undang (RUU) Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2025 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun terhadap pesalah.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, pengenalan peruntukan baharu di bawah Seksyen 42A akan menjadikan perbuatan berlumba atau menduga kelajuan di jalan raya sebagai satu kesalahan khusus di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).

Beliau menjelaskan, langkah mewujudkan kesalahan khusus ini penting bagi mengatasi lompang undang-undang sedia ada. Sebelum ini, tindakan terhadap lumba haram dituduh di bawah peruntukan pemanduan berbahaya, yang mana adakalanya sukar dibuktikan di mahkamah sekiranya tiada elemen kemalangan berlaku.

"Melalui pindaan itu, tindakan penguatkuasaan boleh diambil terhadap aktiviti tersebut tanpa perlu menunggu sehingga berlakunya kemalangan, kecederaan atau kehilangan nyawa," katanya ketika membentangkan RUU berkenaan bagi bacaan kali kedua di Dewan Rakyat hari ini.

Bagi kesalahan pertama di bawah Seksyen 42A, pesalah boleh dikenakan denda antara RM2,000 hingga RM10,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali. Bagi sabitan kali kedua atau seterusnya, hukuman ditingkatkan kepada denda RM5,000 hingga RM20,000 atau penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali.

Perang total terhadap rangkaian tonto

Dalam perkembangan sama, Anthony mengumumkan pengenalan Seksyen 110B yang digubal khusus untuk melumpuhkan rangkaian tonto yang sering mengganggu tugas agensi penguat kuasa, terutamanya membabitkan operasi lori lebih muatan dan kenderaan perdagangan.

Di bawah seksyen baharu ini, mana-mana individu yang dikesan menghalang, mengganggu, menyerang, mengancam, mengekori kenderaan penguat kuasa, atau membocorkan maklumat operasi bagi membantu pesalah meloloskan diri, boleh dikenakan tindakan tegas.

Kesalahan melibatkan aktiviti tonto ini diklasifikasikan sebagai kesalahan boleh tangkap dan membawa hukuman denda antara RM10,000 hingga RM50,000 atau penjara tidak kurang satu tahun dan maksimum lima tahun, atau kedua-duanya sekali.

Kadar maksimum kompaun dinaikkan kepada RM500

Pindaan RUU ini turut melibatkan penyelarasan had maksimum tawaran kompaun bagi kesalahan tertentu daripada RM300 kepada RM500.

Bagaimanapun, Anthony memberi jaminan bahawa kadar RM500 itu tidak akan dikenakan secara automatik kepada semua pesalah. Nilai kompaun sebenar masih bergantung kepada jenis, tahap keseriusan kesalahan, serta tempoh penyelesaian kes.

Pelaksanaan kadar maksimum kompaun baharu ini dicadangkan untuk bermula secara rasmi pada 1 Januari 2029.

+ - reset