TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Wira jalan raya selamat 21 nyawa, pemandu lori terima pengiktrafan selepas insiden Terowong Menora

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 23 Jun - Keberanian seorang pemandu lori yang mempertaruhkan keselamatan diri bagi mengelakkan sebuah bas ekspres daripada terbabas berhampiran Terowong Menora, Perak, mendapat penghargaan kerajaan apabila beliau menerima Sijil Penghargaan Khas serta wang sagu hati berjumlah RM10,000 hari ini.

Pengiktirafan menerusi dana Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) itu disampaikan kepada Wong Tuck Meng, 40, atas tindakan pantasnya menyelamatkan 21 penumpang dalam kejadian yang berlaku pada 15 Jun lalu.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, tindakan berani pemandu lori berkenaan berjaya mengelakkan satu tragedi yang berpotensi meragut banyak nyawa.

"Oleh kerana kepantasan seorang pemandu, seorang wira yang mengambil tindakan walaupun mungkin membahayakan dirinya sendiri, tindakan itu telah berjaya mengelakkan satu kemalangan tragis dan menyelamatkan ramai nyawa manusia," katanya pada majlis penghargaan khas di bangunan Parlimen, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, bas ekspres yang dalam perjalanan dari Kedah ke Kuala Lumpur itu mengalami masalah teknikal dan hilang kawalan ketika menuruni bukit berhampiran terowong berkenaan.

Menurutnya, Tuck Meng bertindak tenang apabila membiarkan bas tersebut "berpaut" pada lorinya bagi mengurangkan momentum selepas kenderaan itu merempuh bahagian belakang lori yang dipandunya.

"Bukan sahaja dapat memperlahankan, malah berjaya memberhentikan bas itu tanpa terbabas menggunakan lorinya dengan merapatkan kenderaan ke arah rel penghadang ketika menuruni bukit," katanya.

Sementara itu, Tuck Meng berkata, tindakannya ketika itu dilakukan secara spontan demi memastikan pengguna jalan raya lain berada dalam keadaan selamat serta mengelakkan sebarang kehilangan nyawa.

"Saya hanya terfikir situasi macam itu, seboleh-bolehnya jangan berlaku kemalangan jalan raya sehingga menyebabkan kematian. Jarak bas agak jauh sedikit jadi sempat untuk saya tekan hon bagi memberi masa kepada kereta-kereta di depan menyelamatkan diri," katanya.

Terdahulu, Dewan Rakyat turut menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Tuck Meng atas keberanian yang ditunjukkannya.

Penghargaan itu disampaikan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Dr Ramli Mohd Nor selepas Anthony membentangkan bacaan kali kedua Rang Undang-Undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2026.

Anthony turut menyifatkan Tuck Meng sebagai "wira negara" kerana berjaya mengelakkan tragedi lebih buruk daripada berlaku, sekali gus membuktikan masih ramai rakyat yang sanggup membantu orang lain demi keselamatan awam.

Sebelum ini, rakaman video memaparkan detik cemas kejadian itu tular di media sosial dan menerima pujian meluas daripada orang ramai.

+ - reset