TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Lagi kes buli, murid menangis, rambut ditarik sebelum dibawa masuk bilik air

By
|
Kongsi
image

KOTA KINABALU 23 Jun - Polis dan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah sedang menjalankan siasatan berhubung satu rakaman video tular yang memaparkan seorang murid dipercayai menjadi mangsa buli di sebuah sekolah di kawasan pedalaman negeri ini.

Video berdurasi satu minit 30 saat yang mula tersebar di media sosial sejak Selasa itu menunjukkan seorang murid dalam keadaan menangis sebelum rambutnya ditarik dan dibawa ke bilik air oleh individu yang dipercayai membulinya.

Rakaman tersebut turut memaparkan mangsa dipercayai digertak sebelum dibawa mencuci muka selepas menangis.

Kejadian itu mendapat perhatian ramai selepas seorang pemilik akaun media sosial mendakwa insiden berkenaan berlaku di Tenom dan menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan segera.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tenom, Superintenden Azmir Abd Razak mengesahkan pihaknya telah menerima laporan berhubung kejadian tersebut.

"Laporan diterima pagi tadi dan pegawai penyiasat sedang melakukan siasatan. Nanti saya akan maklumkan mengenainya," katanya ketika dihubungi.

Dalam perkembangan sama, Pengarah Pendidikan Negeri Sabah, Datuk Raisin Saidin memaklumkan pihaknya turut menerima laporan berkaitan insiden berkenaan dan sedang mendapatkan maklumat lanjut.

"Saya sedang tunggu laporan lengkap (mengenai kejadian ini)," katanya.

Setakat ini, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian serta tindakan yang akan diambil terhadap pihak yang terlibat.

+ - reset