Berita Berita
Jaga-jaga, kenderaan banyak saman tertunggak bakal dihalang keluar masuk sempadan - Anthony Loke
KUALA LUMPUR 23 Jun - Pemilik kenderaan yang masih mempunyai saman atau kes tertunggak berkaitan pengangkutan jalan bakal berdepan sekatan perjalanan rentas sempadan menerusi pindaan baharu Akta Pengangkutan Jalan yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, langkah itu diperkenalkan bagi memastikan semua saman dan tindakan undang-undang berkaitan diselesaikan terlebih dahulu sebelum pemilik kenderaan dibenarkan memasuki atau meninggalkan negara.
Menurut beliau, Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), anggota JPJ atau pegawai polis akan diberi kuasa untuk menghalang kenderaan berdaftar di Malaysia dan luar negara daripada melintasi sempadan sekiranya masih mempunyai rekod kesalahan yang belum diselesaikan.
“Fasal berkaitan seksyen baharu 119C memperluaskan prinsip yang sama kepada kenderaan motor berdaftar Malaysia yang melakukan perjalanan rentas sempadan.
“Ia bertujuan bagi memastikan pemilik kenderaan menyelesaikan saman dan kes tertunggak terlebih dahulu sebelum melakukan perjalanan rentas sempadan.
“Ia melibatkan saman trafik, kes mahkamah serta pelbagai pelanggaran undang-undang berkaitan pengangkutan jalan,” katanya ketika membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2026 bagi bacaan kali kedua.
Anthony berkata, pindaan itu turut bertujuan memperkukuh penguatkuasaan terhadap pelbagai bentuk penyalahgunaan melibatkan kenderaan di negara ini.
“Pindaan ini membantu meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan serta membendung penyalahgunaan seperti penggunaan kenderaan klon, kenderaan curi dan kenderaan yang tidak mematuhi keperluan undang-undang,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau memberi jaminan bahawa tiada kenaikan kadar Lesen Kenderaan Motor (LKM) atau cukai jalan bagi pengguna di Sabah, Sarawak, Labuan dan Langkawi walaupun kerajaan memperkenalkan konsep kawasan pengisytiharan menerusi pindaan akta tersebut.
Menurutnya, sistem baharu itu diwujudkan bagi memastikan fi cukai jalan dibayar berdasarkan lokasi sebenar penggunaan kenderaan.
“Terdapat kes kenderaan yang digunakan sepenuhnya di Semenanjung tetapi didaftar atau diperbaharui di kawasan yang mempunyai kadar fi lebih rendah.
Katanya, langkah tersebut akan meningkatkan ketelusan sistem pelesenan selain mengelakkan ketirisan hasil kerajaan.
“Pindaan ini untuk mengelakkan bebanan pemilik kenderaan yang benar-benar menggunakan kenderaan mereka di Sabah, Sarawak, Labuan atau Langkawi,” katanya lagi.
Berita berkaitan
June 25, 2026, 11:56 am
Op Kesan dilanjut hingga 30 Jun, PERKESO beri peluang kedua kepada majikan
June 25, 2026, 11:47 am
Kadar pengangguran April stabil pada 3 peratus, trend kehilangan pekerja masih terkawal
June 25, 2026, 10:41 am
'Istana tidak arah bubar DUN Johor' - Onn Hafiz tepis dakwaan Puad
June 25, 2026, 9:57 am
KPM ambil 8,042 guru baharu, 5,845 graduan IPG bakal ditempatkan Ogos ini
June 25, 2026, 9:16 am
