TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Imigresen tutup sementara 71 kaunter pasport seluruh negara bermula 26 Jun ini

By
|
Kongsi
image

PUTRAJAYA 23 Jun. - Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) akan menutup sementara perkhidmatan pasport di 71 cawangan pejabat pengeluar pasport di seluruh negara secara berfasa bagi memberi laluan kepada kerja-kerja penyelenggaraan sistem.

JIM menerusi satu kenyataan memaklumkan, sepanjang tempoh penutupan tersebut, urusan permohonan pasport di kaunter, permohonan melalui MyOnline Pasport serta percetakan pasport di cawangan terlibat tidak dapat dilaksanakan.

Menurut jabatan itu, penutupan sementara berkenaan akan dilaksanakan dalam beberapa fasa dengan Fasa 1 dijadualkan berlangsung dari 26 hingga 30 Jun ini.

Pejabat pengeluar pasport yang terlibat dalam fasa pertama ialah Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya, Jalan Duta, Melaka, Kelana Jaya serta Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Turut terlibat ialah sembilan pejabat di Pusat Transformasi Bandar (UTC), iaitu UTC Puduraya, Selangor, Johor Bahru, Pasir Gudang, Seremban, Ipoh, Kedah, Sungai Petani dan Seberang Perai.

“Orang ramai dinasihatkan untuk merancang urusan pasport lebih awal dan merujuk saluran rasmi Jabatan Imigresen Malaysia untuk maklumat lanjut,” menurut hantaran itu.

JIM memaklumkan penutupan sementara tersebut bertujuan memastikan kerja-kerja penyelenggaraan sistem dapat dilaksanakan dengan lancar bagi meningkatkan kecekapan perkhidmatan pasport kepada orang ramai.

+ - reset