TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Pekerja kilang maut, motosikal terbabas masuk longkang di Persiaran Selangor

By
|
Kongsi
image

SHAH ALAM 24 Jun – Seorang pekerja sebuah kilang automotif maut selepas motosikal yang ditungganginya dipercayai hilang kawalan lalu terbabas dan terjatuh ke dalam longkang di Persiaran Selangor, berhampiran pejabat Karangkraf, Seksyen 15, di sini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Sarudin Samah memaklumkan bahawa mangsa merupakan seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 40-an yang bekerja di Toyota Bukit Raja.

Siasatan awal pihak polis mendapati insiden malang itu dipercayai berlaku kira-kira jam 5.40 pagi semalam (23 Jun), ketika mangsa dalam perjalanan pulang dari tempat kerja menuju ke kediamannya di Seksyen 25, Shah Alam.

"Setibanya di lokasi kejadian, motosikal yang ditunggangi mangsa dipercayai telah hilang kawalan lalu terbabas ke bahu kiri jalan sebelum terjatuh ke dalam longkang. Rempuhan itu mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Sarudin menambah, mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Shah Alam untuk proses bedah siasat yang telah pun selesai dijalankan pada jam 9 pagi tadi. Hasil laporan perubatan mengesahkan punca kematian mangsa adalah disebabkan cedera parah pada bahagian dada akibat impak kemalangan berkenaan (Chest Injury due to Motor Vehicle Crash).

Mayat mangsa dilaporkan hanya ditemui oleh orang awam pada lewat malam hari kejadian, iaitu sekitar jam 11.40 malam sebelum laporan polis dibuat.

Kes tersebut kini diklasifikasikan dan sedang disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian dengan memandu secara berbahaya atau melulu.

Pihak polis menyeru mana-mana individu, saksi bebas, atau orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kemalangan maut ini untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD Shah Alam, Inspektor Zaharizul Zamri di talian 019-3229097.

+ - reset