TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Kes dompet tular: Dakwaan pulangkan wang RM10,000 diperincikan, suspek diberi jaminan polis

By
|
Kongsi
image

SHAH ALAM 24 Jun – Polis mengesahkan bahawa dakwaan berhubung penyerahan semula wang tunai RM10,000 dalam kes kehilangan dompet milik pelancong warga China yang tular baru-baru ini merupakan antara elemen utama yang kini sedang diperincikan dalam siasatan.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar memaklumkan bahawa kertas siasatan kes berkenaan masih belum dilengkapkan sepenuhnya dan telah dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR) bagi mendapatkan arahan serta pandangan lanjut.

“Itu dakwaan daripada suspek dan ini kami katakan siasatan kami belum selesai sepenuhnya. Pihak TPR telah memberikan beberapa arahan supaya dapat diperincikan dan diperjelaskan.

“Justeru, untuk soalan itu saya tidak boleh memberikan ulasan kerana itu antara aspek kita sedang kenal pasti,” katanya dalam satu sidang akhbar di Mes Pegawai Kanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor hari ini.

Shazeli menjelaskan, memandangkan proses mengumpul bukti dan melengkapkan kertas siasatan masih berjalan, suspek lelaki tempatan berusia 37 tahun itu telah dibebaskan dengan jaminan polis terlebih dahulu selepas tempoh remannya berakhir.

“Ini sehingga siasatan dilengkapkan dan mengembalikan kertas siasatan kepada TPR selepas kita mendapat beberapa arahan dan nasihat supaya dilengkapkan siasatan,” katanya lagi.

Kes yang mencetuskan perdebatan hangat di media sosial ini bermula apabila sebuah video tular memaparkan pertikaian tegang di sebuah balai polis membabitkan pasangan warga China dan seorang penghantar barang.

Pasangan warga asing itu mendakwa mereka keciciran dompet berisi wang tunai RM10,000 untuk perbelanjaan harian ketika membeli-belah di sebuah pasar raya di Semenyih. Walaupun dompet tersebut berjaya dipulangkan oleh suspek yang dikesan melalui rakaman CCTV premis, mangsa mendakwa kesemua wang tunai di dalamnya telah lesap.

Bagaimanapun, lelaki yang memulangkan dompet tersebut sekeras-kerasnya menafikan tuduhan mencuri dan menegaskan bahawa dia hadir ke balai polis atas dasar jujur semata-mata untuk menyerahkan barangan yang ditemui.

+ - reset