TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Misteri lelaki hilang ketika pulang kerja terjawab, ditemui maut dalam longkang bersama motosikal

By
|
Kongsi
image

 

SHAH ALAM 24 Jun – Kehilangan seorang lelaki yang dilaporkan tidak pulang ke rumah selepas tamat waktu kerja akhirnya terungkai apabila mayatnya ditemukan bersama motosikal yang ditunggang di dalam longkang berhampiran Persiaran Selangor, Seksyen 15, di sini pada malam Selasa.

Mangsa yang berusia lingkungan 40-an dan bekerja di Toyota Bukit Raja sebelum ini dilaporkan hilang oleh ahli keluarganya selepas gagal pulang ke kediaman di Seksyen 25, Shah Alam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Sarudin Samah berkata, pihak polis menerima maklumat mengenai penemuan mayat seorang lelaki bersama sebuah motosikal pada jam 11.40 malam.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati mangsa menunggang motosikal dalam perjalanan pulang dari tempat kerjanya kira-kira jam 5.40 pagi pada 23 Jun lalu.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal yang ditunggang mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke bahagian kiri jalan dan terjatuh ke dalam longkang.

"Kemalangan itu mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, bedah siasat yang dijalankan di Hospital Shah Alam pada jam 9 pagi Rabu mengesahkan punca kematian mangsa akibat kecederaan pada bahagian dada yang berpunca daripada kemalangan jalan raya.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Sehubungan itu, Sarudin meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kemalangan tersebut tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, Inspektor Zaharizul Zamri di talian 019-3229097.

+ - reset