Berita Berita
Guru kontrak didakwa lakukan amang seksual terhadap pelajar 13 tahun di hotel
KUALA TERENGGANU 24 Jun – Seorang guru kontrak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang pelajar lelaki berusia 13 tahun di sebuah hotel, awal Jun lalu.
Tertuduh, Muhammad Izzuddin Mohmad Asari, 31, membuat pengakuan tersebut dan memohon untuk dibicarakan sejurus selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli.
Mengikut kertas pertuduhan pertama dan kedua, lelaki itu didakwa melakukan perbuatan amang seksual fizikal terhadap mangsa yang sama, yang berusia 13 tahun satu bulan.
Kedua-dua kesalahan berkenaan didakwa dilakukan di dalam sebuah bilik hotel di Jalan Sultan Zainal Abidin di sini, kira-kira jam 8 pagi, pada 4 Jun lalu.
Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, manakala bagi pertuduhan kedua, dia didakwa di bawah Seksyen 14(d) akta yang sama.
Sabit kesalahan bagi setiap pertuduhan, dia boleh berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan hukuman sebat.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nor Aishah Mohamad, manakala tertuduh diwakili peguam bela, Abdul Hayyi Salim.
Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM12,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan syarat tambahan supaya tertuduh melaporkan diri di Balai Polis Jertih, Besut pada setiap awal bulan.
Hakim Mohd Zul Zakiqudin menetapkan 23 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk pengurusan dokumen.
Berita berkaitan
June 24, 2026, 3:25 pm
'Content makan tuan', mahkamah arah Che’gu Bard bela diri kes fitnah Agong
June 24, 2026, 3:09 pm
Media sosial gagal patuh pengesahan umur berdepan denda hingga RM10 juta
June 24, 2026, 3:02 pm
Polis KL banteras curi kabel: 276 laporan diterima, rampasan bernilai RM629,000
June 24, 2026, 2:55 pm
Hina Agong di Facebook: Pengawal keselamatan dipenjara 8 bulan, denda RM50,000
June 24, 2026, 2:02 pm
Kes dompet tular: Dakwaan pulangkan wang RM10,000 diperincikan, suspek diberi jaminan polis
June 24, 2026, 1:41 pm
Bekas jurutera IT didenda RM18,000 guna IC palsu tebus subsidi BUDI95
June 24, 2026, 1:39 pm
Pekerja kilang maut, motosikal terbabas masuk longkang di Persiaran Selangor
June 24, 2026, 1:12 pm
