TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Suspek kes dadah maut terjun jejambat ketika cuba elak ditahan polis

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 25 Jun – Seorang lelaki maut selepas dipercayai terjun dari sebuah jejambat ketika cuba melarikan diri daripada polis dalam kejadian selepas satu kejar-mengejar membabitkan sebuah kenderaan di sekitar Petaling Jaya dan Kuala Lumpur, petang semalam.

Dalam kejadian itu, dua lagi rakan suspek berjaya diberkas selepas ketiga-tiga mereka enggan memberhentikan kenderaan yang dinaiki meskipun diarahkan berbuat demikian oleh pihak polis.

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintendan M Hussin Sollehuddin Zolkifly berkata, insiden berlaku ketika anggota Unit Kereta Peronda (MPV) sedang menjalankan tugas pencegahan jenayah serta pemeriksaan kenderaan.

“Kenderaan itu akhirnya dapat dipintas di kawasan Pantai Sentral sebelum polis menahan dua lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an bagi membantu siasatan.

“Seorang lagi suspek disahkan meninggal dunia selepas cedera parah apabila dipercayai terjun dari jejambat ketika cuba meloloskan diri daripada ditahan polis,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, pemeriksaan lanjut terhadap kedua-dua suspek dan kenderaan yang digunakan menemui beberapa barangan dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan jenayah curi serta penyalahgunaan dadah.

Katanya, semakan mendapati kedua-dua suspek yang ditahan mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah, selain seorang daripada mereka turut dikehendaki polis bagi kesalahan berkaitan dadah.

“Seorang suspek direman selama lima hari hingga 29 Jun ini, manakala seorang lagi direman dua hari hingga esok bagi membantu siasatan,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas, Seksyen 279 Kanun Keseksaan kerana memandu secara melulu dan berbahaya serta Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

M Hussin turut merakamkan penghargaan kepada orang awam yang memberikan kerjasama sepanjang kejadian tersebut dan menasihatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa mematuhi arahan polis bagi mengelakkan sebarang insiden yang boleh membahayakan diri sendiri serta orang lain.

“Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak membuat spekulasi berhubung kes ini kerana ia boleh mengganggu siasatan yang sedang dijalankan.

“Sesiapa yang mempunyai maklumat berkaitan diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Ahmad Shahmee Baharudin, di talian 013-3015810 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di talian 03-7966 2222,” katanya.

+ - reset