TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Polis buka kertas siasatan terhadap Puad Zarkashi, 153 laporan diterima seluruh negara

By
|
Kongsi
image

 

JOHOR BAHRU 25 Jun – Polis membuka kertas siasatan terhadap kenyataan yang dimuat naik Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi di media sosial susulan penerimaan 153 laporan polis di seluruh negara setakat jam 3 petang, Khamis.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, dua laporan turut dibuat oleh seorang bekas Exco Kerajaan Negeri Johor dan Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Johor masing-masing pada jam 10.53 pagi dan 12.13 tengah hari.

“Setakat jam 3 petang, sebanyak 153 laporan polis telah diterima di seluruh Malaysia dan pihak polis menjangkakan jumlah itu akan terus meningkat,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Menurut beliau, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 yang berkaitan perbuatan mempunyai kecenderungan menghasut serta Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan melibatkan kenyataan yang boleh mendatangkan khianat awam.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya menghormati proses siasatan yang sedang berjalan dan tidak membuat sebarang komen atau spekulasi yang boleh mencetuskan kegentaran dalam kalangan masyarakat.

“Polis akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang didapati menyalahgunakan kemudahan rangkaian atau perkhidmatan aplikasi bagi tujuan yang menyalahi undang-undang.

“Kerjasama semua pihak amat diperlukan bagi memastikan ruang digital kekal sebagai platform yang selamat serta memupuk budaya komunikasi yang matang, berfakta dan saling menghormati demi kesejahteraan sosial dan kestabilan negara,” katanya.

+ - reset