TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

PRN Johor: Bekas Exco Agama Johor keluar UMNO, nekad pertahan DUN Layang-Layang

By
|
Kongsi
image

JOHOR BAHRU 25 Jun – Penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layang-Layang, Abd Mutalip Abd Rahim mengumumkan keluar daripada UMNO dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Bekas Exco Hal Ehwal Agama Islam Johor itu berkata, keputusan berkenaan berkuat kuasa serta-merta dan dibuat atas pertimbangan peribadi selepas mengambil kira pandangan akar umbi di kawasan tersebut.

“Dengan penuh tawaduk dan rendah diri, saya mengumumkan keluar daripada UMNO bermula hari ini dan akan menyertai Bersatu di bawah Perikatan Nasional.

“Insya-Allah, saya juga akan bertanding semula mempertahankan kerusi N27 Layang-Layang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Bersatu Pagoh pada Khamis.

Abd Mutalip yang pernah berkhidmat sebagai ADUN Layang-Layang sejak 2013 sebelum kembali memenangi kerusi itu pada PRN 2022, turut merakamkan penghargaan kepada kepimpinan UMNO yang memberi ruang dan peluang sepanjang penglibatannya dalam parti berkenaan.

Beliau bagaimanapun berkata, pada peringkat awal tidak berhasrat untuk bertanding semula, namun mengubah pendirian selepas menerima desakan daripada pengundi tempatan.

Menurutnya, komposisi pengundi di kawasan berkenaan yang majoritinya Melayu turut menjadi antara perkara yang sering dibangkitkan penduduk setempat.

“Saya pada mulanya memang tidak berhasrat untuk bertanding, namun ramai pengundi meminta saya untuk terus berkhidmat.

“Atas dasar tanggungjawab terhadap agama, bangsa dan masyarakat setempat, saya bersedia untuk kembali bertanding mewakili mereka,” katanya.

Sebelum ini, Barisan Nasional (BN) membuat keputusan menyerahkan kerusi DUN Layang-Layang kepada MCA bagi menghadapi PRN Johor kali ini.

Kerusi yang sebelum ini dianggap kubu tradisi UMNO itu akan ditandingi calon MCA, Chua Jian Boon yang juga pegawai khas kepada Menteri Besar Johor.

Langkah pengagihan semula kerusi tersebut dilihat sebagai usaha BN menyusun semula kekuatan antara parti komponennya menjelang pilihan raya negeri.

DUN Layang-Layang mempunyai 25,181 pengundi berdaftar setakat Mei 2026 dengan pengundi Melayu merangkumi kira-kira 55 peratus, diikuti Cina hampir 30 peratus dan India sekitar 13 peratus.

Mengulas lanjut, Abd Mutalip menegaskan keputusannya meninggalkan UMNO bukan berpunca daripada rasa tidak puas hati terhadap parti.

“Kita kekal berkawan, tiada permusuhan. Parti bagi saya hanyalah wadah untuk kita berkhidmat.

“Akhirnya, kita hanya berusaha, namun penentu sebenar adalah Allah SWT,” ujarnya.

Untuk rekod, Abd Mutalip pernah dilantik sebagai Exco Kerajaan Negeri Johor bagi portfolio agama dari 2013 hingga 2018 dan merupakan antara pemimpin yang berpengaruh di kawasan Layang-Layang serta Simpang Renggam.

+ - reset