TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

'Bukan sebab anak, tapi...' - Puad Zarkashi bakal 'londeh' isu anak, isteri pemimpin UMNO diberi jawatan dalam GLC

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 25 Jun – Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menegaskan keputusannya meninggalkan parti itu bukan disebabkan anaknya tidak dipilih sebagai calon, sebaliknya sebagai protes terhadap sistem pemilihan calon yang didakwanya tidak adil dan meminggirkan pemimpin muda.

Menerusi kenyataan di media sosial pada Khamis, Puad menolak dakwaan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki bahawa beliau keluar parti kerana kecewa anaknya tidak dicalonkan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Sebaliknya, beliau mempersoalkan keputusan Barisan Nasional (BN) meletakkan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Endau daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Puan Alwiyah Talib sebagai calon selepas menyertai semula UMNO dalam tempoh singkat.

“Cuba Asyraf dedahkan sebelum ahli UMNO sendiri dedahkan. Kenapa Pn Alwiyah Talib bekas ADUN Endau dari parti Bersatu (2 penggal) umum keluar Bersatu kemudian masuk balik UMNO, tiba-tiba tak sampai sebulan, dipilih sebagai calon BN DUN Endau.

“Itu angkara siapa? Alwiyah umur 64 tahun. Kenapa korbankan Ketua Puteri Johor yang juga Ketua Puteri Mersing. Apakah Ketua Pemuda Mersing juga tidak layak. Kenapa BN tolak calon anak muda. Hebatkah si Alwiyah itu?” katanya.

Puad turut mendakwa situasi sama berlaku di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tiram apabila bekas ADUN kawasan itu, Azizul Bachok yang disifatkannya sebagai pemimpin muda digugurkan pada saat akhir.

“Itu juga yang berlaku kepada Sdr Azizul Bachok bekas ADUN Tiram. Dia orang muda. Dia baru sepenggal jadi YB. Di saat terakhir dia digugur dan diganti oleh YB Senator Halim Sulaiman yang berumur 64 tahun. Tidakkah itu kronisme,” katanya.

Menurut beliau, bantahannya terhadap kaedah pemilihan calon tidak mendapat perhatian kepimpinan parti sehingga mendorong beliau mengambil keputusan drastik meninggalkan UMNO.

“Maka sistem pilih calon itu yang saya protes. Apabila tidak dilayan, apa lagi pilihan yang saya ada? Parti jadi milik eksklusif. Sebab itu saya melakukan kamikaze untuk sedarkan pemimpin,” katanya.

Mengulas isu pencalonan anaknya yang dibangkitkan Asyraf, Puad menegaskan tiada kesalahan untuk mencadangkan individu yang dianggap layak dan berpotensi menjadi calon.

“Mengenai anak saya, salahkah kalau saya mencadangkannya? Kenapa itu jadi isu? Kalau tidak boleh, kenapa anak perempuan Ketua Bahagian Ledang boleh bertanding di Serom.

“Tidak salah mencadangkan anak yang terlatih sebagai calon. Ali melatih anak perempuannya menjadi peninju. Sudah tentu anak itu dibawa masuk gelanggang setelah dia cukup bersedia untuk bertempur,” katanya.

Beliau turut memberi bayangan akan mendedahkan lebih banyak perkara berkaitan proses pemilihan calon serta dakwaan pelantikan melibatkan ahli keluarga pemimpin UMNO dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

“Bab calon ini biarkah saya ulas di posting lain sehari dua ini.

“Ramai anak-isteri pemimpin UMNO di Ibu Pejabat dapat jawatan dalam GLC. Ini pun akan didedahkan dalam posting berasingan,” katanya.

+ - reset