Berita Berita
Bayi 11 bulan maut, jatuh kerusi di rumah pengasuh ketika disuap makan
SUNGAI PETANI 25 Jun – Seorang bayi perempuan berusia 11 bulan yang sebelum ini dilaporkan tidak sedarkan diri selepas dipercayai terjatuh dari kerusi ketika disuap makan di rumah pengasuh, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar pada Khamis.
Mangsa dipercayai terlibat dalam kejadian di sebuah rumah pengasuh di Taman Permaipura Ceria, Bedong kira-kira jam 2.15 petang Isnin lalu sebelum dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian tersebut daripada bapa mangsa.
Menurutnya, pengadu memaklumkan menerima panggilan telefon daripada pengasuh yang memberitahu anaknya terjatuh dari sebuah kerusi kecil ketika sedang disuap makan.
"Siasatan awal mendapati mangsa yang berusia 11 bulan itu dijaga oleh pengasuh terbabit di rumahnya di Taman Permaipura Ceria, Bedong sebelum kejadian berlaku.
"Selepas terjatuh, mangsa dilaporkan tidak sedarkan diri dan dibawa mendapatkan rawatan," katanya pada Khamis.
Beliau berkata, mangsa yang menerima rawatan sejak kejadian itu disahkan meninggal dunia pada jam 10.42 pagi Khamis ketika dirawat di HSB.
Difahamkan, mangsa merupakan anak tunggal kepada pasangan suami isteri yang kedua-duanya bekerja sebagai jururawat di hospital swasta.
Hanyan berkata, seorang wanita berusia lingkungan 30-an yang dipercayai pengasuh kepada mangsa telah ditahan bagi membantu siasatan.
"Suspek dijangka dibawa ke mahkamah untuk permohonan reman bagi melengkapkan siasatan kes pada Jumaat," ujarnya.
Menurut beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 31 Akta Kanak-Kanak 2001.
Berita berkaitan
June 25, 2026, 9:39 pm
PRN Johor: Bekas Exco Agama Johor keluar UMNO, nekad pertahan DUN Layang-Layang
June 25, 2026, 5:51 pm
Polis buka kertas siasatan terhadap Puad Zarkashi, 153 laporan diterima seluruh negara
June 25, 2026, 5:23 pm
Suspek kes dadah maut terjun jejambat ketika cuba elak ditahan polis
June 25, 2026, 3:55 pm
Kanak-kanak 9 tahun maut disyaki terjatuh ketika mandi di rumah
June 25, 2026, 3:31 pm
Umpan wang RM5 dan mi segera: Warga emas 73 tahun ditahan cabul dua murid di stor masjid
June 25, 2026, 3:18 pm
