Berita Berita
Terminal bas Lembah Sireh: Lelaki Rohingya redah laut sebulan, bayar RM10,000 ditahan PGA
KOTA BHARU 30 Jun – Seorang lelaki etnik Rohingya mendedahkan dia terpaksa membayar wang mencecah RM10,000 kepada ejen dan mengharungi perjalanan laut selama sebulan menggunakan kapal dari Rathedaung, Rakhine, Myanmar menuju ke Thailand demi menyusup masuk ke negara ini.
Dugaan lelaki berusia 24 tahun itu tidak berakhir di situ apabila dia kemudiannya perlu berjalan kaki meredah kawasan hutan belantara selama tiga hari di selatan Thailand, sebelum diselundupkan masuk ke Malaysia melalui pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok.
Bagaimanapun, helah pendatang asing tanpa izin (PATI) tersebut berakhir apabila dia ditahan oleh anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) ketika sedang menunggu bas di Terminal Bas Lembah Sireh di sini semalam, dipercayai untuk menuju ke Permaisuri, Setiu, Terengganu bagi mencari peluang pekerjaan baharu.
Komander Briged Tenggara, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, tangkapan menerusi Op Taring Wawasan itu dilakukan kira-kira jam 7.50 malam oleh anggota Risik dan Task Force Batalion 8 PGA selepas melihat keadaan suspek yang mencurigakan.
"Hasil pemeriksaan lanjut mendapati warga Myanmar berketurunan Rohingya itu gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri atau perjalanan yang sah.
"Siasatan awal juga mendapati suspek mengaku telah memasuki Malaysia secara haram pada tahun 2023 dan telah bekerja sebagai buruh binaan di sekitar kawasan Kota Bharu sejak tiga tahun lalu sebelum merancang untuk beralih tempat kerja ke Terengganu," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Ahmad Radzi menambah, suspek kini telah diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu untuk tindakan dokumentasi lanjut dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963.
Tegas beliau, pihak PGA bersama agensi keselamatan lain akan terus memperketat pengawasan, mempergiat risikan, serta memperkukuh kawalan sempadan bagi melumpuhkan rantaian sindiket penyeludupan migran daripada terus membolosi kedaulatan negara.
Berita berkaitan
June 30, 2026, 6:50 pm
Isu buli MRSM Johor: Tiada kompromi, MARA tunggu laporan lengkap polis
June 30, 2026, 6:45 pm
Hampir 10,000 pendidik MARA diraikan, kebolehpasaran TVET cecah 99.1 peratus
June 30, 2026, 2:27 pm
Amang seksual murid bawah umur: Warga emas 73 tahun mengaku tidak bersalah
June 30, 2026, 2:13 pm
Onn Hafiz bidas serangan peribadi Mohd Puad: "Perjuangan ini bukan mengenai individu"
June 30, 2026, 2:05 pm
Ahli Parlimen gesa kerajaan tangguh TURAP, persoal peranan syarikat pengurusan pekerja asing
June 30, 2026, 2:02 pm
Skim mySalam: RM108 juta dibayar kepada 123,800 penerima B40 sehingga Mei
June 30, 2026, 1:25 pm
BN pilih pendekatan berhemah, elak pergaduhan hadapi PRN Johor, Negeri Sembilan
June 30, 2026, 1:19 pm
