TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Onn Hafiz bidas serangan peribadi Mohd Puad: "Perjuangan ini bukan mengenai individu"

By
|
Kongsi
image

BATU PAHAT 30 Jun – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menegaskan beliau tidak gentar dengan siri serangan peribadi yang dilemparkan oleh Datuk Dr. Mohd Puad Zarkashi terhadapnya, sambil meminta para pengundi agar tidak terpengaruh dengan pendekatan politik sedemikian.

Onn Hafiz berkata, Mohd Puad sepatutnya mencontohi kematangan politik beberapa pemimpin UMNO lain yang digugurkan daripada senarai calon pilihan raya tetapi kekal setia kepada parti, termasuk bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit, Datuk Ayub Jamil.

"Ayub dulu pun tak dicalonkan, tetapi beliau tak merajuk dan tidak mengata, kerana perjuangan ini bukan mengenai individu, sebaliknya lebih kepada rakyat juga masyarakat.

"Kita dapat tahu melalui apa dikongsikan Setiausaha Agung UMNO (Datuk Asyraf Wajdi Dusuki), rupa-rupanya calon yang dia (Mohd Puad) nak ketengahkan ialah anaknya sendiri. Maka pelbagai serangan dibuat termasuk ke atas diri saya dan lebih dahsyat lagi, dia boleh kaitkan dengan istana," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Penyampaian Amanat Kepada Jentera BN Bahagian Batu Pahat di Rengit, dekat sini hari ini.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh tiga calon rasmi yang dipertaruhkan oleh BN iaitu Boo Chin Leong bagi kerusi DUN Penggaram, Mohd Yusla Ismail (DUN Senggarang), dan Mohd Zaidi Japar (DUN Rengit).

Mengulas mengenai proses pemilihan calon di daerah berkenaan, Onn Hafiz mengakui BN Batu Pahat sebenarnya memiliki lambakan tokoh yang berwibawa dan berkelayakan tinggi sehingga menyukarkan jawatankuasa pemilihan untuk membuat keputusan muktamad.

"Kita hanya boleh pilih tiga calon. Setiap DUN hanya satu calon, sebab itulah kita memilih calon yang betul-betul boleh menangkan parti kita," jelas beliau bagi meredakan ketegangan dalaman parti berhubung isu pengguguran nama pemimpin tertentu.

+ - reset