Berita Berita
UiTM lancar inisiatif semikonduktor, lahir tenaga mahir bumiputera
Oleh AZIM SAID
SHAH ALAM, 30 Jun – Universiti Teknologi MARA (UiTM) melancarkan inisiatif Semikondukter@UiTM sebagai usaha memperkukuh pembangunan bakat dalam bidang kejuruteraan elektrik dan elektronik (E&E), khususnya sektor semikonduktor yang semakin penting dalam ekosistem teknologi global.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir berkata, inisiatif tersebut merupakan langkah strategik Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi memastikan pembangunan industri semikonduktor negara dapat diperkasakan secara menyeluruh, termasuk melibatkan penyertaan graduan bumiputera.
“Saya berada di UiTM pada hari ini bagi merasmikan Semikondukter@UiTM ia merupakan satu program besar yang dilancarkan melalui Kementerian Pendidikan Tinggi bagi memastikan bidang E&E khususnya semikonduktor dapat dikembangkan,” katanya dalam sidang media.
Beliau berkata, pembangunan bidang tersebut bukan sahaja tertumpu di Universiti Sains Malaysia (USM), malah diperluaskan ke UiTM bagi melibatkan penyertaan bumiputera dalam sektor berkenaan.
"Selain daripada yang berada di USM sekarang ini kita kembangkan khususnya untuk UiTM kerana ia juga melibatkan penglibatan bumiputera,” katanya.
Menurut beliau, kerajaan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM20 juta bagi menyokong pelaksanaan program berkenaan yang turut memberi fokus kepada pembangunan ekosistem lengkap, bukan hanya tertumpu kepada aspek akademik semata-mata.
“Pelbagai program termasuklah mewujudkan satu ekosistem yang menyeluruh kerana bila kita bercakap tentang AI dan juga semikonduktor, ia bukan hanya semata-mata untuk memberi pengkhususan tetapi keseluruhan ekosistem itu perlu diwujudkan,” jelasnya.
Tambah beliau, usaha ini juga selaras dengan kedudukan Malaysia sebagai antara penyumbang penting dalam industri semikonduktor global yang menyumbang kira-kira 13 peratus kepada rantaian industri dunia, dengan nilai pendapatan melebihi RM300 bilion.
Dalam pada itu, Zambry menegaskan bahawa pendekatan pendidikan tinggi ketika ini perlu lebih fleksibel dengan menggabungkan pembelajaran di kampus dan industri bagi melahirkan tenaga kerja lebih kompeten.
“Dasar terkini ialah mengembangkan konsep pendidikan bukan hanya di kampus, tetapi juga di industri-industri utama yang dikenal pasti,” katanya.
Beliau berkata, pendekatan tersebut turut melibatkan universiti teknikal termasuk empat universiti seperti Universiti Kuala Lumpur (UniKL), yang kini melaksanakan konsep pembelajaran berasaskan industri.
"Maknanya mereka belajar juga di industri-industri bukan hanya belajar dengan pergi ke luar tetapi industri yang datang ke kampus.
"Kita juga melakukan pendekatan ini bagi membolehkan supaya kaedah belajar untuk mendapatkan pengetahuan dan ilmu bukan lagi berada di kampus khususnya dalam bidang teknikal," tambahnya.
Pendekatan ini membolehkan kaedah pembelajaran menjadi lebih menyeluruh.
Pelaksanaan inisiatif Semikondukter@UiTM itu dijangka memperkukuh kapasiti UiTM dalam melahirkan graduan berkemahiran tinggi, sekali gus menyokong aspirasi Malaysia untuk menjadi hab semikonduktor utama di rantau ini.
Berita berkaitan
June 30, 2026, 6:50 pm
Isu buli MRSM Johor: Tiada kompromi, MARA tunggu laporan lengkap polis
June 30, 2026, 6:45 pm
Hampir 10,000 pendidik MARA diraikan, kebolehpasaran TVET cecah 99.1 peratus
June 30, 2026, 2:27 pm
Amang seksual murid bawah umur: Warga emas 73 tahun mengaku tidak bersalah
June 30, 2026, 2:13 pm
Onn Hafiz bidas serangan peribadi Mohd Puad: "Perjuangan ini bukan mengenai individu"
June 30, 2026, 2:05 pm
Ahli Parlimen gesa kerajaan tangguh TURAP, persoal peranan syarikat pengurusan pekerja asing
June 30, 2026, 2:02 pm
Skim mySalam: RM108 juta dibayar kepada 123,800 penerima B40 sehingga Mei
June 30, 2026, 1:25 pm
BN pilih pendekatan berhemah, elak pergaduhan hadapi PRN Johor, Negeri Sembilan
June 30, 2026, 12:33 pm
