TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Amang seksual murid bawah umur: Warga emas 73 tahun mengaku tidak bersalah

By
|
Kongsi
image

MELAKA 30 Jun – Seorang lelaki warga emas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini hari ini atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua murid perempuan sekolah rendah di dalam stor sebuah masjid, pertengahan bulan ini.

Tertuduh, Aziz Mohammad @ Teh Eng Guan, 73, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan sejurus kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin.

Mengikut pertuduhan pertama, warga emas itu didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun dengan cara memegang kemaluan, memeluk, serta mencium pipi korban di dalam bilik stor Masjid Al-Abrar, Semabok di sini, pada 15 Jun lalu kira-kira jam 1.05 tengah hari.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa melakukan perbuatan keji yang sama terhadap seorang lagi kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun pada 22 Jun lalu, di lokasi dan waktu yang sama.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Rif'ah 'Izzati Abdul Mutalif menawarkan kos jaminan sebanyak RM25,000 bagi setiap pertuduhan berserta syarat tambahan ketat iaitu tertuduh dilarang sama sekali mengganggu atau mendekati mangsa sehingga kes selesai.

Bagaimanapun, peguam bela tertuduh, SS Amritpal Singh merayu jumlah jaminan yang lebih rendah atas alasan anak guamnya menghidap penyakit kencing manis kronik, masih menanggung seorang anak bongsu yang menghidap autisme, serta tidak mempunyai risiko untuk melarikan diri selain akan dijamin oleh menantunya.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 bagi kesemua pertuduhan dengan syarat tambahan yang dipohon pihak pendakwaan, dan menetapkan tarikh 29 Julai depan sebagai sebutan semula kes bagi serahan dokumen.

Sebelum ini, media melaporkan taktik kotor seorang warga emas yang bertindak mengumpan murid sekolah rendah dengan wang tunai RM5 serta mi segera sebelum mencabul mereka di dalam stor masjid berhampiran sekolah mangsa. Perbuatan tersebut terbongkar selepas kedua-dua mangsa tampil mengadu perkara berkenaan kepada guru kaunseling mereka.

+ - reset