TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Ahli Parlimen gesa kerajaan tangguh TURAP, persoal peranan syarikat pengurusan pekerja asing

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 30 Jun - Sekumpulan Ahli Parlimen menggesa kerajaan menangguhkan pelaksanaan Universal Recruitment Advanced Platform (TURAP) sehingga semua aspek berkaitan projek itu didedahkan kepada Parlimen dan orang ramai, selain mempersoalkan kemungkinan syarikat Besnet sekali lagi diberikan peranan utama dalam ekosistem pengambilan pekerja asing negara.

Menerusi satu kenyataan bersama pada Ahad, mereka melahirkan kebimbangan susulan laporan bahawa kerajaan sedang menghidupkan semula TURAP walaupun pelbagai isu tadbir urus berkaitan Foreign Workers Centralised Management System (FWCMS) masih belum diselesaikan.

Menurut mereka, anggota Kabinet termasuk menteri yang sedang berkempen dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Johor perlu menjelaskan sama ada TURAP telah diluluskan Kabinet dan mengapa Besnet sekali lagi berada di tengah-tengah sistem pengambilan pekerja asing Malaysia.

Katanya, TURAP bukan sekadar sebuah aplikasi digital, sebaliknya melibatkan proses pengambilan pekerja, pemadanan majikan, urusan imigresen, mobiliti pekerja, kos pengambilan, hak pekerja serta pengurusan data peribadi yang sensitif.

"Justeru, sistem sebesar ini tidak boleh diputuskan secara tertutup atau diperkenalkan sebagai sesuatu yang sudah muktamad tanpa penelitian awam," menurut kenyataan itu.

Mereka mengakui objektif TURAP untuk menghapuskan orang tengah yang mengeksploitasi pekerja, memadankan pekerja secara terus dengan majikan serta mengurangkan kos pengambilan adalah matlamat yang wajar disokong.

Bagaimanapun, mereka menegaskan platform digital semata-mata tidak menjamin pembaharuan sekiranya aspek ketelusan, penguatkuasaan dan akauntabiliti tidak diperkukuhkan.

Menurut mereka, orang ramai tidak seharusnya melupakan pelbagai isu yang pernah dibangkitkan berhubung FWCMS.

Laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), katanya, mendapati FWCMS beroperasi lebih enam tahun tanpa kontrak rasmi antara kerajaan dan Besnet.

Laporan itu turut membangkitkan kelemahan kawalan termasuk akaun "super administrator" yang tidak dikendalikan pegawai kerajaan serta kewujudan pengguna tidak dibenarkan yang meluluskan permohonan majikan.

Selain itu, Laporan Ketua Audit Negara 2022 mengklasifikasikan pengurusan keseluruhan FWCMS sebagai tidak memuaskan.

Mereka berkata, walaupun isu-isu berkenaan dibangkitkan, kerajaan kemudiannya memeterai perjanjian rasmi dengan Besnet bermula Jun 2024 hingga Januari 2031 dengan kadar RM215 bagi setiap pekerja, berbanding RM100 sebelum ini.

"Orang ramai berhak mengetahui mengapa Malaysia kini mempertimbangkan untuk memberikan satu lagi platform utama dalam rantaian pengambilan pekerja asing kepada syarikat yang sama," menurut kenyataan itu.

Mereka turut mempersoalkan sama ada TURAP dicadangkan melalui rundingan terus dengan Besnet.

Menurut mereka, jika benar, kerajaan perlu menjelaskan mengapa kaedah itu dibenarkan memandangkan platform berskala nasional yang melibatkan jutaan pekerja migran, data sensitif dan potensi pendapatan jangka panjang sepatutnya melalui tender terbuka atau proses permintaan cadangan (RFP) yang telus.

Mereka berkata, kebimbangan utama ialah TURAP berpotensi mengukuhkan lagi penguasaan satu syarikat swasta dalam keseluruhan ekosistem pekerja asing, bermula daripada proses pengambilan di negara sumber, pemadanan majikan, kelulusan kemasukan, permit, pembaharuan permit sehingga pengurusan data pekerja.

Berdasarkan laporan media, cadangan Besnet dikatakan melibatkan kontrak selama 12 tahun dengan caj sehingga AS$1,000 (kira-kira RM3,950) bagi setiap permohonan pekerja asing selain bayaran bersamaan gaji sebulan bagi setiap pekerja.

Walaupun syarat itu dikatakan masih dalam perbincangan, mereka menyifatkannya sebagai menimbulkan persoalan serius mengenai kemampuan, nilai untuk wang serta sama ada pembaharuan yang didakwa mesra pekerja akhirnya akan mewujudkan satu lagi konsesi jangka panjang yang menguntungkan pihak tertentu.

Dalam masa sama, mereka meminta kerajaan menjelaskan sama ada TURAP sedang distrukturkan sebagai projek kerjasama awam-swasta (PPP) di bawah Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS).

Menurut mereka, status PPP tidak seharusnya dijadikan jalan pintas untuk mengelakkan persaingan terbuka atau penelitian awam.

Sekiranya TURAP merupakan projek PPP, kerajaan diminta mendedahkan tempoh konsesi, model pembayaran dan hasil, mekanisme perkongsian risiko, pemilikan data, klausa penamatan, kajian kebolehlaksanaan serta penilaian nilai untuk wang.

Kerajaan juga diminta menjelaskan sama ada UKAS telah menjalankan kajian pasaran dan mempertimbangkan alternatif lain termasuk membangunkan platform milik kerajaan atau mengadakan tender terbuka yang melibatkan syarikat teknologi tempatan.

Sehubungan itu, mereka mengemukakan lapan persoalan utama kepada kerajaan, antaranya sama ada TURAP telah diluluskan Kabinet, sama ada projek itu diberikan melalui rundingan terus kepada Besnet, struktur PPP yang dicadangkan, syarat komersial termasuk tempoh konsesi dan caj dikenakan, mekanisme melindungi pekerja daripada bayaran pengambilan yang berlebihan, langkah mengelakkan aktiviti pengambilan bergerak secara haram di negara sumber, keperluan mewujudkan sistem baharu ketika FWCMS dan NIISe sudah wujud serta pihak yang akan memiliki dan mengawal data sensitif pekerja migran dan majikan.

Menurut mereka, Malaysia sememangnya memerlukan reformasi menyeluruh dalam sistem pengambilan pekerja asing bagi menghapuskan yuran melampau, amalan perhambaan hutang, ejen yang mengeksploitasi pekerja serta kes pekerja tiba di negara ini tanpa pekerjaan seperti dijanjikan.

Namun, mereka menegaskan reformasi tidak seharusnya bermaksud menggantikan ramai orang tengah dengan sebuah monopoli swasta yang lebih berkuasa.

Justeru, mereka menggesa kerajaan menangguhkan sebarang pelaksanaan TURAP sehingga semua maklumat berkaitan proses perolehan, struktur PPP jika ada, hubungan dengan FWCMS dan NIISe, struktur kos, rangka kerja tadbir urus data serta mekanisme perlindungan pekerja didedahkan sepenuhnya kepada Parlimen dan orang ramai.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung; Ahli Parlimen Subang, Wong Chen; Ahli Parlimen Wangsa Maju, Zahir Hassan; Ahli Parlimen Balik Pulau, Muhammad Bakhtiar Wan Chik; Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail; Ahli Parlimen Sungai Siput, Kesavan Subramaniam dan Ahli Parlimen Gopeng, Tan Kar Hing.

+ - reset