TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Skim mySalam: RM108 juta dibayar kepada 123,800 penerima B40 sehingga Mei

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 30 Jun – Kira-kira 123,800 penerima daripada golongan B40 telah mendapat manfaat menerusi Skim Perlindungan Kesihatan Sosial (mySalam) membabitkan bayaran tuntutan berjumlah RM108 juta bagi tempoh sehingga Mei tahun ini.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, prestasi semasa itu membuktikan skim perlindungan kesihatan percuma berkenaan kekal berfungsi secara aktif dalam membantu kumpulan sasar yang berdepan risiko penyakit kritikal dan hospitalisasi.

Trend penggunaan skim itu turut menunjukkan lonjakan memberangsangkan apabila seramai 298,126 individu menerima manfaat dengan jumlah tuntutan RM276 juta pada tahun lalu, berbanding 190,725 penerima pada tahun 2024.

"Sejak mula dilancarkan pada 2019 sehingga Disember 2025, seramai 1,880,069 individu sudah menerima manfaat dengan keseluruhan jumlah tuntutan dibayar mencecah RM1.42 bilion.

"Berdasarkan kriteria kelayakan semasa Sumbangan Tunai Rahmah (STR) tahun ini, seramai 9,151,849 penerima STR adalah layak mendapat manfaat di bawah mySalam," katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) yang meminta kerajaan menyatakan tahap keberkesanan skim mySalam dalam membantu meringankan beban kewangan golongan B40, khususnya bagi rawatan penyakit kritikal.

Mengulas lanjut, Amir Hamzah memaklumkan baki dana semasa mySalam masih berbaki sebanyak RM490.9 juta setakat tahun lalu, sekali gus membuktikan kedudukan kewangan skim itu kekal mampan untuk menyokong kebajikan kesihatan rakyat.

Skim perlindungan yang merangkumi 50 jenis penyakit kritikal termasuk kanser, masalah buah pinggang, dan serangan jantung itu pada asalnya hanya dirancang untuk fasa lima tahun (2019 hingga 2023).

"Namun, selaras dengan komitmen kerajaan untuk membantu golongan B40 yang berdepan risiko kesihatan, pelaksanaannya sudah dilanjutkan sehingga 2026 melalui Belanjawan 2024 dan Belanjawan 2026," tambah beliau.

Untuk rekod, skim mySalam mula diperkenalkan pada tahun 2019 hasil sumbangan dana permulaan berjumlah RM2 bilion daripada Great Eastern Holding Limited (GEHL) bagi menyediakan perlindungan takaful percuma kepada penerima bantuan tunai kerajaan berumur 18 hingga 65 tahun serta pasangan mereka.

+ - reset