TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Viral

Rapid KL mohon orang awam lapor lelaki warga asing kencing di eskalator MRT Titiwangsa

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 01 JULAI - Tindakan biadab seorang lelaki dipercayai warga asing yang membuang air kecil sambil berdiri di khalayak ramai mencetuskan kemarahan orang ramai selepas video kejadian itu tular di media sosial, pagi tadi.

Insiden menjijikkan itu dilaporkan berlaku di kawasan eskalator stesen Transit Aliran Massa (MRT) Titiwangsa.

Kejadian tersebut dikongsi oleh seorang pengguna media sosial menerusi akaun Threads @its.danishafiq, yang menyedari perbuatan itu ketika dalam perjalanan ke tempat kerja.

"Baru nak pergi kerja, ternampak warga asing kencing berdiri dan bersepah dalam MRT Titiwangsa," katanya menerusi hantaran tersebut.

Hantaran berkenaan meraih perhatian ramai dalam tempoh hanya dua jam, selain dihujani ribuan komen pengguna media sosial yang mengecam tindakan tidak bertanggungjawab individu tersebut.

Rata-rata pengguna media sosial meluahkan rasa kesal dan menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas demi menjaga kebersihan serta imej pengangkutan awam negara.

Susulan penularan video tersebut, pengendali pengangkutan awam, Rapid KL, tampil mengeluarkan kenyataan ringkas hari ini dan menggesa orang ramai untuk segera melaporkan sebarang salah laku yang berlaku di kawasan stesen atau di dalam tren.

Rapid KL menegaskan bahawa aspek kebersihan kemudahan awam merupakan tanggungjawab bersama dan mengingatkan pengguna lain agar tidak meniru perbuatan negatif berkenaan.

"Jangan tiru aksi ini. Jika ternampak aktiviti yang salah dan mencurigakan seperti kencing di tempat tidak sepatutnya, makan dan minum dalam tren atau berkelakuan sumbang, laporkan segera kepada petugas stesen, polis bantuan atau hubungi talian bantuan kami," jelas kenyataan itu.

Pihak Rapid KL turut berharap agar semua penumpang dapat memberikan kerjasama erat bagi memastikan fasiliti pengangkutan awam sentiasa berada dalam keadaan bersih, selamat, dan selesa untuk kegunaan semua.

+ - reset