TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Viral

Mengajar selama 40 tahun, guru kontrak bersara dengan gaji RM120

By
|
Kongsi
image

Pengorbanan seorang guru kontrak di Indonesia yang dikenali sebagai Bu Ijah meruntun hati orang ramai di media sosial.

Ini selepas beliau mendedahkan memilih untuk berhenti mengajar dengan membawa pulang slip gaji terakhir yang hanya berjumlah sekitar RM120 (Rp 414,000).

Perkara itu dikongsikan sendiri oleh beliau menerusi akaun TikTok miliknya, @buijah28, baru-baru ini.

Dalam video yang tular itu, pemilik nama sebenar Adriyani kelihatan tenang namun sebak ketika menceritakan perjalanan panjangnya mengajar selama belasan tahun di sebuah Sekolah Menengah Rendah Kerajaan, sebelum meneruskan khidmat di sebuah Sekolah Menengah Vokasional Swasta di Kota Tangerang, Banten, Indonesia.

"Saya Bu Ijah, pada Jun 2026, saya memutuskan untuk berhenti menjadi guru selepas 40 tahun berbakti, dengan membawa gaji terakhir sebanyak RM120," katanya.

Apa yang paling menyentuh hati adalah keikhlasan Bu Ijah yang tidak marah, kecewa atau dendam terhadap mana-mana pihak berhubung isu kebajikan dirinya. 
Beliau enggan menuding jari kepada pihak sekolah, pihak yayasan mahupun pihak kerajaan.

"Jika mahu mencari siapa yang salah, mungkin benar, saya sendiri yang salah. Mengapa saya sanggup menjadi seorang guru kontrak," luahnya dalam video itu

Di sebalik wataknya sebagai seorang pendidik yang cekal, Bu Ijah rupa-rupanya merupakan seorang penulis berbakat yang telah menghasilkan sebuah novel berjudul Lentera Putih.

Melalui perkongsian yang tular itu, Bu Ijah turut membuka mata ramai pihak mengenai realiti pahit dihadapi lebih daripada satu juta guru kontrak di seluruh Indonesia ketika ini. 

Beliau memberikan pesanan bahawa jika kesemua guru kontrak ini mengambil keputusan untuk berhenti secara serentak, sistem pendidikan negara berkenaan pasti akan lumpuh sepenuhnya.

 

+ - reset