TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Operasi Perdana AADK: Suami isteri antara 195 ditahan positif dadah, anak diserah kepada JKM

By
|
Kongsi
image

SEREMBAN 2 Julai – Sepasang suami isteri merupakan antara 195 individu yang ditahan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) selepas dikesan positif dadah jenis metamfetamin dan ketum dalam Operasi Perdana yang dijalankan di sekitar Negeri Sembilan, yang berakhir semalam.

Operasi bersepadu selama tiga hari itu memfokuskan kepada beberapa kawasan panas di daerah Seremban, Jempol, Tampin, dan Port Dickson.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AADK, Zainudin Abdullah berkata, pasangan suami isteri yang masing-masing berusia 45 dan 44 tahun itu dicekup dalam satu serbuan di sebuah kediaman tanpa bekalan elektrik di daerah Seremban.

"Ketika serbuan dilakukan, pihak kami menemui dua kanak-kanak berusia empat dan 10 tahun di dalam rumah berkenaan. Kedua-dua anak pasangan tersebut telah dirujuk serta-merta kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk tindakan perlindungan selanjutnya.

"Selain itu, dalam operasi berasingan di Jempol, kami turut menahan seorang wanita berusia 44 tahun bersama anak perempuannya yang baru berusia setahun tiga bulan, selepas ibunya didapati positif dadah jenis syabu," katanya dalam sidang media di Pejabat AADK Negeri Sembilan di sini, malam tadi.

Zainudin memaklumkan, sepanjang tempoh operasi yang bermula 29 Jun lalu, seramai 262 individu termasuk empat warga asing telah diperiksa. Daripada jumlah itu, seramai 195 orang disahkan positif pelbagai jenis dadah melalui ujian saringan air kencing.

Empat warga asing yang ditahan melibatkan tiga warganegara Indonesia dan seorang etnik Rohingya. Dalam operasi sama, pihak penguat kuasa turut berjaya merampas 2.62 gram dadah jenis morfin. Kesemua tangkapan dan barang rampasan telah diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk proses perundangan susulan.

Menurut beliau, operasi berskala besar yang digerakkan oleh 72 pegawai dan anggota AADK ini bertujuan memperkukuh penguatkuasaan undang-undang di bawah Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 serta bidang kuasa yang termaktub di bawah Akta Agensi Antidadah Kebangsaan 2004.

+ - reset