Berita Jenayah
Lelaki warga asing maut ditikam rakan sebelum rebah dalam lubang pembetung
KOTA KINABALU 2 Julai – Pertengkaran dalam keadaan mabuk selepas sesi meminum minuman keras membawa padah apabila seorang lelaki warga asing maut akibat ditikam empat kali oleh rakannya sendiri di sebuah tapak pembinaan di belakang bilik pameran kenderaan di Iramanis di sini, awal pagi semalam.
Dalam kejadian yang tragis itu, mangsa yang berusia 34 tahun dipercayai sempat berjalan kaki bagi menyelamatkan diri sebelum disahkan meninggal dunia dan ditemui di dalam sebuah lubang pembetung berhampiran lokasi kejadian.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Ab Rahman mengesahkan pihak polis menerima maklumat awal mengenai insiden pergaduhan tersebut pada jam 1.40 pagi, sebelum laporan polis rasmi dibuat pada jam 2.23 pagi.
Hasil siasatan awal mendapati mangsa dan suspek yang berusia 36 tahun sebelum itu telah keluar ke daerah Penampang pada sebelah pagi untuk meminum minuman keras sebelum kedua-duanya pulang ke rumah kongsi mereka sekitar jam 11 malam.
"Siasatan mendapati berlaku pertengkaran antara mangsa dan suspek yang dipercayai berpunca daripada salah faham ketika mereka berada di bawah pengaruh alkohol.
"Mangsa dipercayai telah memukul suspek terlebih dahulu menggunakan sebatang kayu di bahagian kepala, sebelum suspek bertindak balas dengan menikam mangsa sebanyak empat kali menggunakan sebilah pisau pemotong sayur," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Menurut Syed Lot, sejurus selepas kejadian tersebut, suspek bertindak melarikan diri dari tempat kejadian manakala mangsa yang cedera parah sempat berjalan sebelum rebah ke dalam lubang pembetung.
Pasukan Forensik Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Sabah telah dikerahkan ke lokasi bagi menjalankan pemeriksaan forensik yang teliti. Mayat mangsa kini telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.
Kes kini sedang diklasifikasikan dan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang membawa hukuman mati atau penjara.
Pihak polis sedang giat menjalankan usaha mengesan dan menangkap suspek yang masih bebas serta merampas senjata pembunuhan yang digunakan. Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes ini diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan (ASP) Syed Abdul Rahman Syed Mohsin di talian 012-310 6882 atau hadir ke balai polis berhampiran.
Berita berkaitan
July 2, 2026, 8:28 pm
Kes cederakan banduan hingga maut: 5 warden Penjara Taiping didakwa esok
July 2, 2026, 8:57 am
Takut masalah peribadi terbongkar, wanita reka cerita disamun dua lelaki bermotosikal
June 29, 2026, 10:44 am
Polis buru pemandu Kembara lari tinggal kenderaan lepas jadi punca kemalangan
June 29, 2026, 10:35 am
Bau busuk bongkar penemuan mayat wanita dalam bagasi di rumah
June 24, 2026, 9:58 am
Dua anggota polis parah diserang suspek dadah ketika operasi tangkapan di Perak
June 23, 2026, 8:34 pm
Polis berkas lelaki miliki 15 rekod jenayah samun wang tunai di jalan raja laut
June 23, 2026, 8:15 pm
Polis siasat dakwaan dua warga emas diikat dan dicederakan di pusat jagaan Sungai Petani
June 23, 2026, 2:26 pm
