TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Onn Hafiz balas kenyataan PM mengenai JS-SEZ

By
|
Kongsi
image

JOHOR BAHRU 4 JULAI – Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, tampil memperjelaskan kenyataannya berhubung Pelan Induk Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dengan menegaskan bahawa teguran tersebut bukan bertujuan mencela mana-mana pihak. 

Sebaliknya, langkah itu diambil bagi memastikan setiap maklum balas berkaitan inisiatif strategik negeri bersama Kerajaan Persekutuan sentiasa bersandarkan fakta yang tepat demi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan rakyat serta pelabur.

Beliau menjelaskan bahawa kedudukan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri menuntut penelitian tinggi dalam mengeluarkan kenyataan. 

Menurut Onn Hafiz, tanggapan bahawa dokumen Pelan Induk JS-SEZ masih memerlukan persetujuan daripada Kerajaan Singapura sebelum boleh dilancarkan adalah tidak wajar. 

Dokumen berkenaan merupakan hak milik Kerajaan Malaysia yang sepenuhnya bebas daripada keperluan kelulusan republik tersebut, memandangkan proses libat urus serta maklum balas antarabangsa telah pun selesai sepenuhnya.

Kini, dokumen itu hanya menanti masa yang sesuai untuk dilancarkan oleh pihak kementerian atau melalui majlis rasmi yang diputuskan oleh Kerajaan Malaysia. 
Sehubungan itu, Onn Hafiz menyifatkan kenyataan Perdana Menteri sebelum ini yang memberi gambaran seolah-olah pelan tersebut perlu menunggu persetujuan dalam Leaders' Retreat serta memerlukan tandatangan pemimpin kedua-dua negara sebagai kurang tepat dan boleh mengelirukan orang ramai.

Sebagai pentadbir negeri, beliau menegaskan tanggungjawab Johor untuk memastikan projek strategik itu berjalan mengikut jadual demi memberi jaminan kepada komuniti pelabur. 

Pelancaran pelan induk itu amat dinantikan kerana kandungannya yang merangkumi aspek hala tuju sektor, insentif, prasarana dan pembangunan bakat mampu melonjakkan keyakinan pelabur untuk terus menanam modal yang mana limpahan ekonominya akan turut dinikmati oleh seluruh rakyat Malaysia.

Mengulas lanjut, Onn Hafiz menyatakan kebimbangannya sekiranya kenyataan yang tidak tepat daripada pemimpin nombor satu negara menjejaskan persepsi pelabur sedia ada mahupun pelabur berpotensi. 

Beliau turut menyentuh sindiran Perdana Menteri terhadap keupayaannya dengan menyatakan bahawa apa yang lebih membimbangkan adalah sekiranya Perdana Menteri sendiri dilihat tidak teliti dalam mengeluarkan kenyataan rasmi.

Isu itu timbul susulan bidasan Anwar kelmarin yang menegur tindakan Onn Hafiz kerana didakwa menggunakan pelan JS-SEZ sebagai modal kempen pilihan raya. 

Anwar sebelum itu menegaskan bahawa urusan menandatangani perjanjian berkenaan adalah di peringkat Perdana Menteri kedua-dua negara dan belum sampai ke peringkat Menteri Besar.

+ - reset