Berita Berita
PRN Johor lebih awal bukan jaminan menang besar – Anwar
KULAI 4 JULAI - Keputusan untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor lebih awal bukanlah satu jaminan bagi mana-mana pihak untuk meraih kemenangan lebih besar.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berpandangan, langkah membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan lebih awal berbanding tempoh sepatutnya sebaliknya berpotensi memberikan kesan di luar jangkaan.
Beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) menegaskan, perkara lebih utama ketika ini adalah peranan generasi muda dalam menentukan hala tuju masa depan negara yang inklusif untuk semua kaum.
“Jadi saya ingat yang penting anak-anak muda, ini masa depan anda, ini negara anda. Sambutlah cabaran ini. Lakukan sebaiknya. Kuatkan semangat kita dan tentukan masa depan ini masa depan orang Melayu, Cina, India, Orang Asli, Iban, Kadazan. Masa depan kita bersama baru boleh negeri ini kuat,” katanya ketika berucap pada program Kita GenK MADANI X di Taman Tropika, di sini, hari ini.
DUN Johor sebelum ini dibubarkan pada 5 Jun lalu, iaitu kira-kira 15 bulan lebih awal sebelum tamat tempoh penggal lima tahunnya, dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan 11 Julai ini sebagai hari pengundian.
Mengulas lanjut mengenai suasana politik semasa, Anwar menjelaskan bahawa pilihan raya seharusnya dijadikan medan untuk menilai dasar-dasar kerajaan serta usaha dalam meningkatkan taraf hidup rakyat dan bukannya menjadi pentas perseteruan politik berpanjangan.
Dalam masa sama, beliau turut menegaskan bahawa apa sahaja keputusan daripada PRN Johor kelak sama sekali tidak akan menjejaskan kedudukan beliau sebagai Perdana Menteri di peringkat Persekutuan.
Sementara itu, Anwar turut menyanggah dakwaan dan tanggapan sesetengah pihak yang cuba menggambarkan Johor dan Malaysia sebagai sebuah wilayah miskin, sedangkan realitinya negara itu mempunyai hasil mencukupi untuk dikongsi bersama rakyat.
“Siapa kata Johor miskin? Siapa kata Malaysia miskin? Negara ini kaya. Share (kongsi) lah,” tambahnya lagi.
Sebelum mengakhiri ucapannya, beliau menyarankan agar Johor memberikan lebih tumpuan kepada agenda pembinaan projek perumahan rakyat, seiring dengan model pembangunan yang telah dilaksanakan di Kuala Lumpur, Selangor dan Perak bagi memastikan kebajikan penduduk terus terbela.
Berita berkaitan
July 4, 2026, 6:40 pm
Hubungan BN-PH kekal profesional walau bertembung di Johor – Ahmad Zahid
July 4, 2026, 6:25 pm
Positif dadah 2 pemandu ditahan di Plaza Tol Gombak
July 4, 2026, 6:18 pm
PETRA peruntuk RM9.46 juta projek cakna MADANI atasi banjir di Sarawak
July 4, 2026, 2:48 pm
Johor perlukan pemimpin fahami keutamaan rakyat – Anwar
July 4, 2026, 2:44 pm
Empat warga asing dalang sindiket curi elektrik ditahan di Sandakan
July 4, 2026, 11:51 am
Mohamad Sabu ketuai delegasi Malaysia, hadir beri penghormatan terakhir pada Khamenei
July 4, 2026, 11:40 am
Onn Hafiz balas kenyataan PM mengenai JS-SEZ
July 4, 2026, 11:25 am
Isi petrol RON95, pemandu Singapura didenda RM20,000
July 4, 2026, 10:45 am
