TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Positif dadah 2 pemandu ditahan di Plaza Tol Gombak

By
|
Kongsi
image

GOMBAK 4 JULAI - Dua pemandu kenderaan perdagangan dikesan positif dadah jenis Methamphetamine dan ganja dalam Operasi Bersepadu Dadah di Plaza Tol Gombak, hari ini.

Operasi bersepadu itu dilaksanakan Jabatan Pengangkutan Jalan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPJ WPKL) dengan kerjasama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

Pengarah JPJ WPKL, Hamidi Adam berkata, seramai 74 pemandu menjalani saringan air kencing sepanjang operasi berkenaan, dengan dua daripadanya didapati positif Methamphetamine dan ganja.

“Individu yang didapati positif adalah seorang pemandu lori dan seorang pemandu kereta sewa yang masing-masing berumur 31 dan 41 tahun.

“Kedua-dua individu tersebut telah ditahan di bawah Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 [Akta 283] bagi tujuan ujian dan siasatan lanjut. Berdasarkan hasil siasatan, tindakan lanjut boleh diambil di bawah Seksyen 6(1)(a) atau Seksyen 6(1)(b) akta yang sama,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, sekiranya kedua-dua individu itu disahkan sebagai penagih dadah, lesen memandu mereka akan digantung mengikut Seksyen 36 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Katanya, operasi itu turut memberi tumpuan kepada pemeriksaan lesen memandu, Lesen Kenderaan Motor (LKM), Lesen Vokasional (PSV/GDL), perlindungan insurans, syarat permit, keadaan teknikal kenderaan serta kesalahan lain di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Selain tindakan terhadap pemandu, syarikat pengangkutan turut dipertanggungjawabkan untuk memastikan pemandu yang digajikan mematuhi undang-undang dan bebas daripada penyalahgunaan dadah,” katanya.

Dalam operasi sama, sebanyak 228 kenderaan perdagangan diperiksa dengan 43 daripadanya diambil tindakan atas pelbagai kesalahan, membabitkan pengeluaran 75 notis dan penyitaan sebuah bas henti-henti.

MOTAC pula memeriksa 36 kenderaan pelancongan serta mengesan satu kes kegagalan menggunakan khidmat pemandu pelancong yang disiasat mengikut Peraturan-Peraturan Industri Pelancongan (Perniagaan Pengendalian Pelancongan dan Perniagaan Agensi Pengembaraan) 1992.

+ - reset