Berita Berita
PETRA peruntuk RM9.46 juta projek cakna MADANI atasi banjir di Sarawak
MIRI 4 JULAI – Kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) membuktikan komitmen berterusan dalam memperkukuh usaha mitigasi banjir di Sarawak dengan meluluskan peruntukan sebanyak RM9.46 juta.
Peruntukan di bawah Rolling Plan 1 (RP1), Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMKe-13) bagi 2026 itu melibatkan pelaksanaan sebanyak 52 Projek Cakna MADANI yang dikategorikan sebagai projek 'low hanging fruits' demi memberi manfaat segera kepada penduduk setempat.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri PETRA, Datuk Amar Haji Fadillah Haji Yusof berkata, daripada keseluruhan 52 projek yang dirancang itu, sebanyak 12 projek telah pun siap sepenuhnya.
"Baki projek lain pula melibatkan 13 projek yang kini dalam pelaksanaan, manakala 27 projek lagi masih berada di peringkat pra-pelaksanaan," katanya selepas mengadakan lawatan kerja bagi meninjau pelaksanaan Kerja-Kerja Penstabilan Tebing Sungai di Tanah Perkuburan Tab Cinaq di sini, hari ini.
Projek penstabilan tebing yang bernilai RM134,682.00 itu mula dilaksanakan pada Mei lalu dan dijangka siap sepenuhnya menjelang November 2026.
Skop utamanya merangkumi pembinaan tembok gabion sepanjang 50 meter bagi menstabilkan tebing sungai, mengurangkan kesan hakisan serta melindungi infrastruktur dan kawasan tanah perkuburan daripada risiko runtuhan.
Dalam lawatan yang sama, Datuk Amar Haji Fadillah turut meluangkan masa mendengar taklimat serta meninjau perkembangan semasa Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Miri, Lembangan Sungai Miri yang menelan kos keseluruhan sebanyak RM31 juta.
Menurut beliau, kerja-kerja fizikal bagi projek RTB berkenaan telah dimulakan sejak Oktober 2023 dan kini menunjukkan perkembangan yang sangat positif.
"Sehingga kini, kemajuan keseluruhan projek RTB Sungai Miri telah mencapai 58.11 peratus dan kita menjangka ia akan siap sepenuhnya pada November 2026," jelas beliau lagi.
Projek itu merangkumi penyediaan perkhidmatan perunding, kerja awalan, pengalihan utiliti serta pembinaan komponen tebatan banjir yang komprehensif seperti tembok pasang surut, kolam takungan, naik taraf sistem saliran, pembinaan rumah pam, pintu kawalan banjir dan sistem perangkap sampah, termasuk pemasangan sistem mekanikal serta elektrikal.
Secara keseluruhannya, Kerajaan Persekutuan menerusi PETRA telah meluluskan kos keseluruhan berjumlah RM3.834 bilion bagi pelaksanaan 29 projek tebatan banjir di seluruh negeri Sarawak.
Langkah drastik itu mencerminkan tekad berterusan kerajaan dalam memperkukuh daya tahan negara terhadap risiko bencana banjir melalui pelaksanaan projek berkesan yang memberi manfaat langsung kepada rakyat, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang mengutamakan kemampanan dan kesejahteraan.
Berita berkaitan
July 4, 2026, 6:40 pm
Hubungan BN-PH kekal profesional walau bertembung di Johor – Ahmad Zahid
July 4, 2026, 6:33 pm
PRN Johor lebih awal bukan jaminan menang besar – Anwar
July 4, 2026, 6:25 pm
Positif dadah 2 pemandu ditahan di Plaza Tol Gombak
July 4, 2026, 2:48 pm
Johor perlukan pemimpin fahami keutamaan rakyat – Anwar
July 4, 2026, 2:44 pm
Empat warga asing dalang sindiket curi elektrik ditahan di Sandakan
July 4, 2026, 11:51 am
Mohamad Sabu ketuai delegasi Malaysia, hadir beri penghormatan terakhir pada Khamenei
July 4, 2026, 11:40 am
Onn Hafiz balas kenyataan PM mengenai JS-SEZ
July 4, 2026, 11:25 am
Isi petrol RON95, pemandu Singapura didenda RM20,000
July 4, 2026, 10:45 am
