TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Hubungan BN-PH kekal profesional walau bertembung di Johor – Ahmad Zahid

By
|
Kongsi
image

KOTA TINGGI 4 JULAI — Hubungan kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor disifatkan profesional, meskipun kedua-dua gabungan politik tersebut bertembung sesama sendiri di gelanggang pilihan raya yang sama.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan bahawa kedua-dua pihak berjaya mematangkan landskap politik dengan membezakan tanggungjawab sedia ada sebagai rakan sekutu dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan, berbanding persaingan yang berlaku di peringkat negeri.

“Saya ingin sahkan (hubungan BN-PH) sangat-sangat baik dan kita sangat profesional. Kita membezakan isu-isu peringkat nasional yang harus kita tangani bersama sebagai anggota Jemaah Menteri dengan isu lain di peringkat negeri,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Program Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) Agromajestic Negeri Johor 2026 yang berlangsung di Dataran Kejat Bandar Tenggara, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut mengenai dinamika hubungan BN dan PH sepanjang PRN Johor termasuk dakwaan bahawa isu projek impak tinggi seperti Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dijadikan bahan kempen, Ahmad Zahid menegaskan pendekatan yang diambil ketika ini lebih mengutamakan politik matang tanpa melibatkan serangan peribadi.

“Antaranya kita tidak ‘attack’ satu sama lain walaupun kita berada di gelanggang negeri Johor dan kita akan ke Negeri Sembilan. Jika ada yang tersasar daripada pihak sana atau pihak sini, kita harus mengendurkan keadaan itu. Yang penting, demokrasi ini harus diterjemahkan dengan sebaik-baiknya,” jelas beliau lagi.

Sehubungan itu, Ahmad Zahid mengingatkan semua pihak bahawa fokus utama kempen pilihan raya sepatutnya tertumpu kepada usaha menyelesaikan masalah rakyat serta mengetengahkan merit dan kelebihan calon masing-masing, bukannya digunakan sebagai pentas untuk menjatuhkan kredibiliti pihak lawan.

“Kita berkempen secara bersopan. Kita menyantuni isu, mendepani isu dan menangani permasalahan. Itu lebih baik. Kemenangan seseorang calon itu bukan kerana ‘attack’ yang hebat tetapi kerana calon baik yang dikemukakan. Kita harus mempromosikan calon kita masing-masing seperti di Panti dan Pasir Raja bukan kita menghentam parti lain ataupun calon lain. Bukan itu cara UMNO dan BN,” katanya.

+ - reset