TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Viral

Leka bersembang di kedai mamak, peragut selamba rembat beg tangan wanita

By
|
Kongsi
image

Oleh AZIM SAID

KUALA LUMPUR 6 Julai – Insiden ragut yang tular membabitkan seorang pelanggan yang dipercayai menjadi mangsa apabila beg diletakkan di atas meja disambar individu tidak dikenali kini mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen di media sosial.

Dalam rakaman berkenaan, mangsa dilihat sedang duduk berbincang di kawasan parking premis tersebut bersama beberapa orang rakannya sebelum sebuah motosikal berhenti berhampiran meja mangsa. 

Tidak lama kemudian, individu menunggang motorsikal  tersebut dipercayai menghampiri meja mangsa dan meragut beg yang diletakkan di atas meja sebelum melarikan diri.

Kejadian itu dipercayai berlaku ketika suasana santai di kedai makan berkenaan, sekali gus mengejutkan pelanggan lain yang berada di lokasi.

Perkongsian mengenai insiden itu turut disertakan dengan peringatan kepada orang ramai agar tidak meletakkan beg di atas meja walaupun berada di tempat yang kelihatan selamat, kerana ia boleh menjadi sasaran mudah penjenayah.

“Saya kongsi video ini untuk ingatkan jangan sesekali letak beg atas meja walaupun rasa tempat itu selamat,” menurut perkongsian tersebut.

Rata-rata netizen meluahkan kebimbangan terhadap keselamatan orang ramai, selain menyifatkan kejadian seumpama itu boleh berlaku pada bila-bila masa sekiranya sikap berhati-hati tidak diambil serius.

Antara komen netizen ialah daripada pengguna media sosial, ZulZul Zul yang menyarankan pihak berkuasa tempatan lebih tegas dalam aspek susun atur ruang awam.

“Majlis bandaraya tak bagi letak kerusi meja atas tempat parking, takut kes-kes macam ni, patutlah kena angkut,” tulisnya.

Sementara itu, Nazerin Ahmad Basri pula memberi peringatan sinis mengenai sikap penjenayah yang hanya menunggu peluang.

“Mereka hanya tunggu kita lalai untuk membodohkan kita,” katanya.

Dalam masa sama, Jade Sri yang menyentuh aspek pemilihan lokasi dan keselamatan ruang terbuka.

“Awat la pergi duduk luar jauh sana, tempat terbuka mudah kan operasi jenayah,” tulisnya.

Insiden tersebut turut mengingatkan orang ramai supaya tidak mengambil ringan soal keselamatan, terutama ketika berada di kawasan terbuka seperti kedai makan yang boleh menjadi sasaran jenayah.

 

+ - reset