TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Santai

Lebih 4 dekad selepas dilancarkan, Proton Saga kekal simbol kebanggaan negara

By
|
Kongsi
image

Oleh AZIM SAID

Tarikh 9 Julai hari ini mencatatkan lebih 4 dekad perjalanan bersejarah Proton Saga, kereta nasional pertama Malaysia yang bukan sahaja menjadi lambang kemampuan tempatan dalam bidang automotif, malah memainkan peranan penting dalam pembangunan industri negara.

Pada tarikh yang sama, Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad, secara rasmi melancarkan Proton Saga, sekali gus membuka lembaran baharu dalam usaha Malaysia membina industri automotif sendiri.

Kelahiran Proton Saga bukan sekadar pengenalan sebuah model kenderaan, tetapi mencerminkan aspirasi negara untuk membangunkan keupayaan teknologi, kemahiran kejuruteraan serta sektor pembuatan tempatan yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa.

Sebelum pelancaran, proses mencari nama yang sesuai untuk kereta nasional pertama itu telah dimulakan sejak 1984 menerusi pertandingan terbuka kepada rakyat Malaysia. 

Pertandingan tersebut mendapat sambutan luar biasa dengan lebih daripada 100,000 cadangan nama diterima daripada orang ramai.

Daripada jumlah penyertaan itu, nama “Saga” dipilih sebagai pemenang, Staf Sarjan Ismail Jaafar dari Pulau Pinang. Nama tersebut menarik perhatian panel hakim kerana ringkas, mudah disebut dan mempunyai maksud tersendiri.

Menurut penjelasan pemenang pertandingan itu, perkataan SAGA membawa maksud Safety (Keselamatan), Achievement (Pencapaian), Greatness (Keunggulan) dan Ability (Kebolehan), yang menggambarkan harapan terhadap kejayaan kereta nasional tersebut.

Idea mencipta nama berkenaan dikatakan tercetus ketika beliau bersama rakan-rakannya bermain permainan Sahiba, sebelum menyedari gabungan empat perkataan tersebut sesuai dijadikan identiti untuk kereta nasional pertama Malaysia.

Sejak diperkenalkan, Proton Saga telah melalui pelbagai perubahan mengikut perkembangan teknologi dan kehendak pengguna. 

Daripada model pertama yang menjadi kebanggaan rakyat pada era 1980-an, ia terus berkembang dengan penambahbaikan dari aspek reka bentuk, keselamatan, keselesaan dan kecekapan.

Bagi sebahagian besar rakyat Malaysia, Proton Saga bukan hanya sebuah kenderaan, tetapi sebahagian daripada perjalanan hidup, menjadi kereta keluarga, kenderaan pertama golongan muda dan simbol pencapaian industri tempatan.

Lebih empat dekad selepas pelancarannya, Proton Saga kekal sebagai antara model paling bersejarah dalam industri automotif Malaysia.

Perjalanan panjang membuktikan peranan penting kereta nasional itu dalam membentuk industri automotif tempatan serta menjadi simbol kebanggaan rakyat terhadap keupayaan negara menghasilkan produk sendiri.

+ - reset