TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Jenayah

Kes jenayah libat warga Rohingya meningkat di Kedah

By
|
Kongsi
image

ALOR SETAR, 14 Julai — Kes jenayah membabitkan warga Myanmar termasuk etnik Rohingya di Kedah mencatatkan peningkatan drastik sejak tahun lalu dengan sebahagian besar kes dikategorikan sebagai jenayah kekerasan sesama kelompok mereka sendiri.

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah mendedahkan sebanyak 39 kes jenayah membabitkan warga asing dari negara berkenaan direkodkan dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, berbanding 65 kes sepanjang tahun lalu.

Sebagai perbandingan, statistik menunjukkan trend peningkatan ketara berbanding tahun-tahun sebelumnya apabila hanya 17 kes dengan 18 tangkapan direkodkan pada 2023, dan 14 kes melibatkan 23 tangkapan dicatatkan pada 2024.

Walaupun graf statistik menunjukkan lonjakan, Adzli memberi jaminan bahawa kesemua kes jenayah kekerasan berskala berat termasuk bunuh dan mendatangkan kecederaan adalah terpencil serta hanya melibatkan konflik sesama komuniti mereka tanpa membabitkan ancaman fizikal terhadap masyarakat tempatan.

Siasatan pihak polis mendapati punca utama yang mencetuskan pergaduhan fizikal sehingga membawa kepada kes pembunuhan berpunca daripada tabiat meminum minuman keras tidak berdaftar secara beramai-ramai ketika berkumpul pada waktu malam.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa kesemua kes bunuh yang dilaporkan sebelum ini telah berjaya diselesaikan oleh pihak polis dan suspek terlibat sudah pun dihadapkan ke muka pengadilan. Selain kes kekerasan, trend jenayah lain yang dikesan melibatkan komuniti tersebut adalah kes kecurian kecil, perjudian, penjualan rokok seludup, kesalahan imigresen, dan pemilikan barangan kontraban.

Sementara itu, dalam operasi membanteras aktiviti penyeludupan migran (Atipsom), pihak polis Kedah berjaya menahan seramai 37 tekong serta ahli sindiket, selain menangkap 246 pendatang tanpa izin (PATI) sepanjang tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Majoriti dalang atau tekong yang ditahan dikesan merupakan warga tempatan, namun terdapat juga pembabitan aktif daripada warga asing termasuk etnik Rohingya, Bangladesh, dan Thailand yang bertindak sebagai ahli rangkaian sindiket bagi menguruskan kemasukan migran secara haram.

Adzli turut mendedahkan berlaku peralihan trend geografi kemasukan etnik Rohingya, di mana mereka kini beralih menggunakan bot-bot kecil untuk mendarat di sekitar zon perairan Kuala Kedah, Kerpan, Yan, dan Kuala Muda bagi mengelakkan kawalan ketat pihak berkuasa di pintu masuk tradisi seperti Teluk Ewa dan Teluk Datai di utara Langkawi.

+ - reset