TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

'Dah jadi modal politik BN' - MP DAP tanya Anwar bila mahu tunai janji mansuh PTPTN

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 15 Julai – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan akan meneliti semula isu berkaitan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) selepas perkara itu dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong, di Dewan Rakyat, hari ini.

Anwar berkata, perkara itu akan dibincangkan bersama Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir serta kepimpinan Kerajaan Perpaduan.

“Terima kasih Kota Melaka. Yang ya PTPTN tak apalah saya akan bincang dengan baiklah kerana Menteri Besar Johor pun dalam kerajaan perpaduan di peringkat persekutuan.

“Jadi kita runding dengan baik. Dan soal PTPTN itu kita bincang dengan Menteri KPT,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat.

Terdahulu, Khoo dalam soalan tambahannya membangkitkan isu janji Pakatan Harapan (PH) berhubung PTPTN yang menurutnya dijadikan modal politik oleh Barisan Nasional (BN) sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

“(Soalan) Yang kedua berkaitan dengan golongan muda. Terutamanya mereka yang baru saja lepasan universiti.

“Bagaimana kita boleh bantu mereka? Sebab baru-baru ini Menteri Besar Johor (semasa PRN) dia mengatakan, mencaci, mengatakan kita janji hapuskan PTPTN.

“Tetapi kerajaan tak hapuskan. Ini yang disebut oleh Menteri Besar Johor. Sedangkan Menteri Pendidikan Tinggi yang menjaga PTPTN ialah daripada Umno.

“Jadi adakah Yang Amat Berhormat boleh mempertimbangkan sekali lagi supaya kita hapuskan PTPTN tersebut?” katanya.

Soalan tambahan itu dikemukakan ketika sesi yang pada asalnya membincangkan kesan penutupan Selat Hormuz terhadap ekonomi Malaysia.

Isu PTPTN antara janji yang pernah diketengahkan gabungan pembangkang sebelum ini. Pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2013, Pakatan Rakyat berjanji memansuhkan PTPTN dan memperkenalkan pendidikan tinggi percuma.

Bagaimanapun, manifesto PH pada PRU 2018 mengubah pendekatan itu dengan menawarkan penangguhan bayaran balik PTPTN kepada peminjam yang berpendapatan di bawah RM4,000 sebulan.

Pada PRU 2022 pula, PH berjanji melaksanakan penghapusan pinjaman secara bersasar melibatkan peminjam daripada kumpulan B40 dan golongan miskin.

Isu berkenaan kembali menjadi perhatian selepas BN dan PH bertembung dalam PRN Johor baru-baru ini, yang menyaksikan BN memperoleh kemenangan besar dengan memenangi 48 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala PH hanya memenangi lapan kerusi.

+ - reset