TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Remaja Rohingya tergamak campak bayi baru lahir dari tingkap hotel di JB

By
|
Kongsi
image

 

JOHOR BAHRU 17 Julai – Seorang remaja perempuan etnik Rohingya dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat atas pertuduhan membunuh bayi lelaki yang baru dilahirkannya dengan mencampakkan mangsa dari tingkap sebuah hotel, awal bulan ini.

Tertuduh, Nor Aishahkila Hussein, 19, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret A. Shaarmini.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana kes itu berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, remaja berkenaan didakwa menyebabkan kematian bayi lelaki yang baru dilahirkannya dengan cara mencampakkan bayi itu melalui tingkap sebuah bilik hotel sehingga terjatuh ke lorong di bawah bangunan dan meninggal dunia.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah bilik hotel di tingkat dua, Jalan Idaman 9/1, Business Precinct 8, Taman Nusa Idaman, di sini kira-kira pukul 1.28 pagi pada 5 Julai lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta sebatan jika tidak dijatuhi hukuman mati, sekiranya sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Anis Shafeeqah Mohd Shariffudin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah tidak membenarkan jaminan dan mengarahkan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) itu ditahan di Penjara Simpang Renggam, Kluang sehingga kes disebut semula.

Mahkamah menetapkan 18 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

+ - reset