Berita Berita
Pempengaruh media sosial didakwa rogol remaja bawah umur di Kangar, mengaku tidak bersalah
KANGAR 17 Julai – Seorang pempengaruh media sosial berdepan ancaman hukuman penjara sehingga 30 tahun dan sebatan selepas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan merogol seorang remaja perempuan bawah umur, pada bulan lalu.
Tertuduh, Muhammad Iman Hazriq Azizan, 23, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan memohon untuk dibicarakan sejurus selepas lembaran pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Sharifah Norazlita Syed Salim Idid.
Berdasarkan butiran pertuduhan, pemuda itu didakwa merogol mangsa yang ketika kejadian baru berusia 14 tahun 10 bulan di dalam sebuah bilik di kediaman Taman Kangar di sini, kira-kira pukul 3.10 pagi pada 17 Jun lalu.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan maksimum 30 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.
Prosiding pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nabila Ahmad Poad, manakala tertuduh hadir ke mahkamah tanpa diwakili peguam bela.
Selepas mempertimbangkan rayuan, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM13,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan yang ketat.
Tertuduh diperintahkan untuk melaporkan diri di balai polis berhampiran pada setiap bulan serta dilarang keras daripada mendekati atau mengganggu mangsa dan saksi-saksi pendakwaan sehingga kes itu selesai sepenuhnya.
Hakim Sharifah Norazlita menetapkan 14 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi pengurusan dokumen dan pelantikan peguam tertuduh.
Sebelum ini, media melaporkan pempengaruh berkenaan telah ditahan pihak polis pada 13 Julai lalu selepas mangsa tampil membuat laporan polis berhubung tindakan suspek yang disyaki merogol serta merakam gambar lucah dirinya di sebuah rumah sewa di taman perumahan berkenaan.
Berita berkaitan
July 17, 2026, 10:28 pm
Ab Rauf akui belum nampak petunjuk kerjasama BN, PN di Melaka
July 17, 2026, 10:09 pm
Rakyat Malaysia di Qatar dinasihatkan sentiasa peka keselamatan
July 17, 2026, 10:02 pm
Remaja perempuan maut, tiga cedera kereta Perodua Kelisa rempuh penghadang jalan di Lojing
July 17, 2026, 9:27 pm
Seorang lagi pelajar jatuh bangunan di sekolah Zara Qairina
July 17, 2026, 4:24 pm
Anwar bersyukur kadar inflasi negara terus mereda meskipun berdepan suasana pilihan raya
July 17, 2026, 4:19 pm
'Apakah Kerajaan Perpaduan akan tinggal sejarah?' - Mat Sabu persoal hala tuju BN
July 17, 2026, 3:42 pm
