TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Seorang lagi pelajar jatuh bangunan di sekolah Zara Qairina

By
|
Kongsi
image

 

KOTA KINABALU, 17 Julai – Insiden seorang pelajar perempuan terjatuh dari tingkat satu Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha pada 15 Julai lalu mencetuskan kebimbangan baharu mengenai aspek keselamatan dan kesejahteraan pelajar, lebih-lebih lagi ketika inkues kematian Zara Qairina Mahathir masih berlangsung.

Dalam kejadian terbaharu itu, pelajar terbabit bagaimanapun tidak mengalami kecederaan serius, namun dimasukkan ke hospital.

Jabatan Pendidikan Negeri Sabah sudah memulakan siasatan dan dapatan awal menunjukkan tiada unsur jenayah atau buli dalam kejadian berkenaan.

Bagaimanapun, insiden itu mengundang reaksi beberapa peguam yang menggesa Kementerian Pendidikan (KPM) mengambil langkah lebih proaktif dalam menangani isu tingkah laku pelajar di sekolah.

Peguam Datuk Ram Singh berkata mereka sedih dengan kejadian menimpa pelajar perempuan itu.

"Mengapa perkara ini berlaku lagi? Inkues ini pun belum selesai, tetapi satu lagi insiden berlaku di sekolah yang sama.

"Kini terdapat begitu banyak kes kanak-kanak jatuh dari bangunan. Ia seolah-olah sudah menjadi perkara biasa dalam kalangan pelajar," katanya dalam sidang media selepas inkues kematian Zara Qairina selesai minggu ini.

Hari ini juga menandakan ulang tahun pertama pemergian Zara Qairina.

Ram yang mewakili salah seorang kanak-kanak yang dikaitkan dengan kes Zara Qairina turut mempersoalkan tindakan Jabatan Pendidikan Sabah yang hanya mengeluarkan kenyataan mengenai insiden terbaharu itu hari ini, iaitu dua hari selepas kejadian berlaku.

"Jika benar-benar prihatin, keluarkan kenyataan secepat mungkin. Saya berharap pelajar ini akan menerima rawatan atau kaunseling yang sewajarnya," katanya.

Sementara itu, prosiding inkues kematian Zara Qairina turut mendengar keterangan saksi ke-75, Pakar Perunding Psikiatri, Dr Wong Haw Huo, yang memaklumkan pasukannya mengambil kira keadaan kesihatan bapa Zara Qairina yang berkemungkinan mempunyai kaitan dari sudut genetik.

Beliau berkata, berdasarkan temu bual dengan Mahathir Hashim, bapa Zara, lelaki itu didapati mempunyai profil psikiatri yang kompleks yang dicirikan oleh gangguan dari aspek kognitif, emosi dan hubungan interpersonal.

"Kami sedang melihat faktor kecenderungan genetik.

"Sesetengah penyakit mental seperti kemurungan atau gangguan kurang daya tumpuan dan hiperaktif (ADHD) bukanlah sesuatu yang luar biasa dan boleh diwarisi dalam keluarga.

"Namun, kami tidak mengesahkan hipotesis ini kerana kami tidak pernah memeriksa Zara," katanya kepada Koroner Amir Shah Amir Hassan.

Beliau turut memaklumkan bahawa Mahathir mempunyai sejarah masalah berkaitan penyalahgunaan bahan sejak usia muda.

Dr Wong menjawab soalan peguam Mahathir, Nurul Rafeeqa Abdul Mutolip, mengenai kepentingan memasukkan dapatan diagnosis terhadap bapa Zara Qairina bagi membantu menentukan keadaan mental kanak-kanak itu sebelum kematiannya.

Untuk rekod, Zara Qairina ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam longkang di tingkat bawah asrama perempuan sekolah berkenaan di Papar pada 16 Julai tahun lalu sebelum disahkan meninggal dunia akibat kecederaan yang dialaminya sehari kemudian, pada 17 Julai.

Prosiding inkues ditangguhkan dan akan disambung semula pada bulan hadapan.

+ - reset