TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Pelajar Tingkatan Dua jatuh bangunan sekolah di Papar disahkan stabil, tiada unsur buli atau jenayah

By
|
Kongsi
image

KOTA KINABALU 17 Julai – Seorang pelajar Tingkatan Dua dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan tidak mengalami sebarang kecederaan serius selepas terlibat dalam insiden terjatuh dari bangunan sebuah sekolah di Papar, baru-baru ini.

Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah dalam satu kenyataan rasmi menegaskan bahawa pihaknya memandang amat serius berhubung insiden tersebut dan tindakan pantas telah diambil bagi memastikan kebajikan mangsa diutamakan.

Menurut JPN Sabah, pihak pengurusan sekolah telah segera memberikan bantuan awal kepada mangsa selain bertindak memaklumkan kepada ahli keluarga serta pihak polis bagi mengawal kawasan kejadian daripada mencetuskan suasana panik dalam kalangan warga sekolah.

“Mangsa telah menerima pemeriksaan dan rawatan di hospital. Berdasarkan laporan perubatan, mangsa tidak mengalami kecederaan serius dan kini berada dalam keadaan stabil.

"Siasatan awal yang dijalankan oleh pihak sekolah juga mendapati tiada sebarang unsur jenayah atau gejala buli yang dikesan dalam kejadian ini," katanya hari ini.

Kenyataan itu turut menambah bahawa aspek kebajikan, keselamatan, serta kesejahteraan emosi pelajar berkenaan akan terus dipantau secara berterusan melalui pemberian sokongan psikososial kepada mangsa serta warga sekolah lain yang terkesan dengan insiden itu.

Pada masa sama, JPN Sabah menyatakan komitmen penuh untuk memberikan kerjasama rapat kepada pihak berkuasa bagi membantu proses siasatan yang sedang berjalan.

Pihak jabatan turut menitipkan pesanan dan peringatan tegas kepada orang ramai agar menghentikan penularan sebarang maklumat tidak sahih atau spekulasi liar yang boleh mengganggu siasatan polis serta menjejaskan emosi mangsa dan keluarganya.

Sebelum ini, sebuah akhbar tempatan melaporkan bahawa insiden terbaharu itu dipercayai berlaku di premis sekolah sama yang pernah digemparkan dengan kes kematian tragis membabitkan Allahyarham Zara Qairina Mahathir sebelum ini.

+ - reset