TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

'Apakah Kerajaan Perpaduan akan tinggal sejarah?' - Mat Sabu persoal hala tuju BN

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR, 17 Julai – Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu mempersoalkan masa depan Kerajaan Perpaduan susulan beberapa perkembangan politik membabitkan Barisan Nasional (BN), termasuk keputusan BN Johor bertanding secara solo pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan kemelut politik di Negeri Sembilan.

Menurut beliau, pembentukan Kerajaan Perpaduan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 2022 merupakan satu detik luar jangka apabila parti-parti yang sekian lama bermusuhan akhirnya bersetuju membentuk kerajaan demi kestabilan negara.

Mohamad mengakui pada peringkat awal beliau sendiri sukar membayangkan kerjasama dengan UMNO memandangkan sejarah perseteruan politik yang panjang, termasuk pengalamannya sebagai bekas pemimpin PAS.

Namun katanya, pengalaman mengharungi beberapa siri pilihan raya kecil membuktikan semangat Kerajaan Perpaduan mampu diterjemahkan melalui kerjasama erat antara Pakatan Harapan (PH) dan BN.

Beliau berkata, kerjasama itu bermula dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram selepas pemergian Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub, apabila pemimpin dan jentera UMNO serta BN turun berkempen bersama calon PH.

Katanya, hubungan itu terus diperkukuhkan dalam beberapa lagi pilihan raya kecil termasuk di Pelangai, Kuala Kubu Baharu, Sungai Bakap, Nenggiri, Mahkota dan Ayer Kuning, apabila kedua-dua gabungan saling membantu tanpa mengira parti yang bertanding.

"Walaupun dahulunya kita bermusuhan, apabila berada dalam Kerajaan Perpaduan, kita saling membantu," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Bagaimanapun, beliau berkata perkembangan mutakhir menimbulkan persoalan besar terhadap kesinambungan kerjasama tersebut.

Menurutnya, BN Johor mengumumkan hasrat bertanding secara solo di kesemua 56 kerusi DUN sebaik sahaja DUN Johor dibubarkan pada 1 Jun lalu.

Dalam masa sama, katanya, kemelut politik di Negeri Sembilan yang menyaksikan 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO dan BN menarik sokongan terhadap Menteri Besar turut menimbulkan tanda tanya mengenai komitmen terhadap Kerajaan Perpaduan.

Beliau turut mendakwa menjelang hari penamaan calon PRN Negeri Sembilan, kerjasama antara BN dan Perikatan Nasional (PN) semakin ketara apabila kedua-dua pihak saling melengkapi pembahagian kerusi yang dipertandingkan.

Sehubungan itu, Mohamad berkata beliau kini berada dalam dilema sebagai pemimpin yang selama ini mempertahankan pembentukan Kerajaan Perpaduan.

"Apakah Kerajaan Perpaduan ini akan terus dipelihara, ataupun yang sebaliknya akan berlaku?" katanya.

+ - reset